Guatemala terima senjata AS selepas embargo 47 tahun berakhir

Pasukan Tentera Guatemala / Foto fail AFP

GUATEMALA CITY, 22 September – Guatemala menerima kumpulan pertama senjata yang dibeli dari Amerika Syarikat (AS) selepas Washington menarik balik embargo ketenteraan yang berkuat kuasa selama 47 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penghantaran bernilai US$5.03 juta melalui mekanisme Jualan Ketenteraan Asing.
  • Peralatan termasuk senapang M4A1, mesingan M240, pelancar grenad dan banyak magazin.
  • Senjata akan digunakan oleh unit tentera untuk memerangi penyeludupan dadah dan jenayah terancang, terutamanya di sempadan.
  • Washington menarik balik embargo ketenteraan 1977 pada Mac 2026, membuka peluang pembelian peralatan ketenteraan AS.

Penghantaran itu tiba pada Isnin dan membabitkan senjata serta peralatan ketenteraan bernilai US$5.03 juta melalui mekanisme Jualan Ketenteraan Asing (FMS).

Antara peralatan yang diperoleh ialah 2,699 senapang M4A1, 59 mesingan M240, 57 pelancar grenad dan 11,220 kelopak magazin.

Presiden Guatemala, Bernardo Arevalo berkata, pembelian itu membuka lembaran baharu dalam kerjasama antara kedua-dua negara serta mencerminkan kepercayaan AS terhadap hala tuju Guatemala.

Beliau berkata, senjata berkenaan akan digunakan oleh unit tentera yang bertanggungjawab memerangi penyeludupan dadah dan jenayah terancang, khususnya di kawasan sempadan.

Menteri Pertahanan, Guatemala Henry Saenz berkata, kerajaan juga merancang mendapatkan pesawat, kapal dan peralatan khas lain dari AS sebagai sebahagian usaha memodenkan keupayaan angkatan tenteranya.

Embargo AS dikenakan pada 1977 berikutan laporan mengenai pencabulan hak asasi manusia dan pembunuhan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan Guatemala ketika perang saudara negara itu antara 1960 dan 1996.

Konflik berkenaan mengorbankan atau menyebabkan kira-kira 200,000 orang terbunuh dan hilang.

Washington menarik balik sekatan itu pada Mac 2026 selepas hampir lima dekad, sekali gus membolehkan Guatemala kembali membeli peralatan ketenteraan AS melalui urusan kerajaan dengan kerajaan.

Walaupun embargo berkuat kuasa, AS sebelum ini masih menyalurkan peralatan kepada angkatan tentera Guatemala bagi membantu usaha membanteras penyeludupan dadah.

Guatemala kini mengaitkan pembelian baharu itu dengan usaha memperkukuh kawalan sempadan serta memerangi jenayah terancang dan penyeludupan rentas negara.

Kuasa Usaha Kedutaan AS di Guatemala, Jorgan Andrews berkata, pembelian itu akan membantu Guatemala menangani rangkaian penyeludupan dadah, senjata dan manusia.

Penghantaran senjata itu merupakan sebahagian daripada proses pemodenan angkatan tentera Guatemala yang dilaksanakan secara berperingkat. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.