
NEW YORK, 22 September – Denmark, Greenland dan Amerika Syarikat (AS) dijadual menandatangani perjanjian bagi memperkukuh keselamatan di rantau Artik dan Atlantik Utara di New York, hari ini.
- Perjanjian memperkukuh keselamatan di Artik dan Atlantik Utara serta meningkatkan kerjasama antara pihak dalam rangka NATO.
- Ditandatangani oleh pemimpin Greenland, Denmark dan AS di ibu pejabat PBB: Jens-Frederik Nielsen, Mette Frederiksen dan Donald Trump.
- Denmark menegaskan tiada penyerahan kedaulatan Greenland, dan akan terus mempertahankan kedaulatan serta integriti wilayah.
- Perjanjian dijangka membenarkan AS memperluas kehadiran ketenteraan di Greenland termasuk dua lokasi tambahan selain Pangkalan Angkasa Pituffik.
Perjanjian itu akan ditandatangani Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen; Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen dan Presiden AS, Donald Trump di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Namun, butiran khusus perjanjian itu belum didedahkan.
Denmark berkata, perjanjian berkenaan akan memperkukuh keselamatan bersama di Artik dan Atlantik Utara serta meningkatkan kerjasama dalam NATO.
Menurut Frederiksen, perjanjian itu tidak melibatkan penyerahan kedaulatan Greenland kepada AS.
Beliau menegaskan, Denmark akan terus mempertahankan kedaulatannya dan integriti wilayahnya, selain mengiktiraf hak rakyat Greenland untuk menentukan masa depan mereka sendiri mengikut undang-undang antarabangsa.
Greenland ialah wilayah autonomi dalam Kerajaan Denmark.
Perjanjian itu dicapai selepas Trump sebelum ini menyatakan hasrat untuk mendapatkan Greenland dan berkata AS memerlukan kawalan keselamatan yang lebih besar ke atas wilayah strategik itu.
Namun, Denmark dan Greenland menegaskan perjanjian baharu itu menghormati kedaulatan mereka.
Menurut Reuters, perjanjian itu dijangka membolehkan AS memperluas kehadiran tenteranya di Greenland, termasuk di dua lokasi tambahan selain Pangkalan Angkasa Pituffik yang kini digunakan AS.
AS dan Denmark sebelum ini mempunyai perjanjian pertahanan sejak 1951 yang dipinda pada 2004, membolehkan tentera AS mengekalkan anggota dan kemudahan ketenteraan di Greenland, termasuk Pangkalan Angkasa Pituffik. – REUTERS