Taufan Dujuan: Empat maut, enam hilang akibat tanah runtuh di Jepun

Tanah runtuh di kawasan perumahan di Miura, Kanagawa akibat hujan lebat yang dicetuskan oleh Taufan Dujuan / Foto REUTERS

TOKYO, 22 September – Sekurang-kurangnya empat orang maut dan lima cedera selepas Taufan Dujuan membawa hujan lebat serta mencetuskan banjir dan tanah runtuh di wilayah Kanto, Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi mencari enam orang yang masih hilang akibat tanah runtuh diteruskan, menurut penyiar awam NHK.
  • Taufan bergerak ke Lautan Pasifik; kebanyakan amaran hujan lebat dan tanah runtuh ditarik balik atau diturunkan tahap.
  • Hujan luar biasa dicatat; Pulau Oshima 832 mm dalam 48 jam, lebih dua kali ganda purata hujan September.
  • Kawasan sekitar Tokyo rekod hujan luar biasa, Edogawa 282.5 mm 24 jam; Chiba lebih 46,000 rumah terputus bekalan elektrik.

Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana Jepun mengesahkan mangsa maut selepas runtuhan tanah menghempap rumah di wilayah Kanagawa dan Chiba.

Operasi mencari enam orang yang masih hilang selepas tanah runtuh akibat hujan lebat diteruskan pada Selasa, menurut penyiar awam NHK.

Taufan itu bergerak menjauhi pantai Jepun dan menuju Lautan Pasifik pada pagi Selasa, menyebabkan kebanyakan amaran hujan lebat dan tanah runtuh ditarik balik atau diturunkan tahap.

Bagaimanapun, Dujuan yang semakin lemah ketika bergerak ke timur laut mencatatkan jumlah hujan luar biasa di beberapa kawasan sekitar Tokyo.

Pulau Oshima, kira-kira 120 kilometer di selatan Tokyo, merekodkan 832 milimeter hujan dalam tempoh 48 jam, lebih dua kali ganda purata hujan bagi keseluruhan September.

Di Edogawa, Tokyo, hujan 282.5 milimeter direkodkan dalam tempoh 24 jam, jumlah tertinggi pernah dicatatkan di kawasan itu.

Di Chiba pula, lebih 46,000 rumah masih terputus bekalan elektrik pada pagi Selasa.

Taufan Dujuan turut menyebabkan salah satu pameran perdagangan permainan video terbesar dunia di Tokyo ditutup lebih awal. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.