
TEMERLOH, 21 September – Tujuh individu berjaya ditangkap menerusi beberapa siri operasi di kawasan Temerloh dan Mentakab pada 15 hingga 19 September lalu disyaki terlibat dalam kes curi kabel.
- Suspek berusia antara 16 dan 40 tahun dipercayai anggota Geng Mat Letrik, Geng Mista dan Geng Sasi.
- Empat suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah; seorang positif ujian air kencing bagi syabu.
- Polis merampas tiga kenderaan, kabel TNB dan TM, serta peralatan untuk menarik, memotong kabel dan membuka manhole.
- Disyaki terlibat lima kes curi kabel dalam empat bulan dengan anggaran kerugian RM100,000; kes disiasat mengikut Seksyen 379, 431A dan Seksyen 235(2).
Ketua Polis Daerah Temerloh, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Nasyim Bahron dalam kenyataan memaklumkan, kesemua mereka berusia antara 16 tahun hingga 40 tahun dipercayai anggota geng Mat Letrik, Geng Mista dan Geng Sasi.
“Daripada jumlah itu semakan mendapati empat suspek mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.
“Hasil ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati salah seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis syabu,” menurut kenyataan itu.
Menerusi beberapa operasi, polis berjaya merampas tiga kenderaan termasuk kabel komunikasi dan utiliti dipercayai milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM), sejumlah peralatan menarik dan memotong kabel serta alat pembuka lubang manhole.
Tujuh suspek termasuk enam yang masih bebas dipercayai turut terlibat dalam lima kes curi kabel komunikasi dan utiliti milik TNB dan TM yang dilaporkan berlaku dalam tempoh empat bulan kebelakangan ini dengan anggaran kerugian kira-kira RM100,000.
Kesemua tangkapan sedang ditahan reman bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 235(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.