Sukan Asia 2026 : Nani Sahirah, Jonah Chang buru rekod terbaik

Nani Sahirah Maryata (paling kiri) dan Jonah Chang Rigan (paling kanan) / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 September – Atlet lontar peluru negara, Nani Sahirah Maryata dan Jonah Chang Rigan menyasarkan catatan terbaik pada penampilan sulung mereka di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, selain mahu mengutip pengalaman di pentas terbesar Asia itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nani bangkit daripada kecederaan Januari; semangat tidak pudar, teruskan latihan intensif.
  • Nani sasar rekod kebangsaan lagi, sudah semak senarai saingan sembilan atlet dan mahu masuk final.
  • Jonah menjangka persaingan sengit dari India dan Taiwan; sasaran peribadi capai 19 meter atau catatan terbaik musim ini.
  • Jonah pernah lontar 18.22m di SUKIPT; kini mahu cipta rekod kebangsaan baharu.

Walaupun pertama kali beraksi di Sukan Asia, kedua-dua atlet berkenaan tampil yakin untuk memberikan saingan terbaik.

Bagi Nani, kecederaan yang dialaminya pada Januari lalu tidak mematahkan semangat untuk kembali bangkit dan mencabar kemampuan sendiri.

“Persediaan saya sepanjang tahun ini agak berat, tetapi saya harap dapat buat yang terbaik di Sukan Asia.

“Saya akan cuba buat rekod kebangsaan lagi. Saya sudah tengok senarai peserta dan saingan memang hebat. Ada sembilan orang dan semuanya hebat-hebat, tetapi saya pun hebat juga. Insya-Allah, doakan saya supaya dapat masuk final dan buat yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, sebelum berlepas ke Jepun, malam ini.

Sementara itu, Jonah menjangkakan saingan sengit di Nagoya dengan kehadiran atlet berpengalaman dari India, Taiwan dan beberapa negara lain.

Atlet kelahiran Sarawak itu bagaimanapun melihat penampilan sulungnya sebagai peluang mengumpul pengalaman, selain menyasarkan rekod kebangsaan baharu atau catatan terbaik musim ini.

“Sasaran saya kali ini mungkin mencipta rekod kebangsaan baharu atau sekurang-kurangnya melakukan catatan terbaik musim ini. Saya mahu cuba capai 19 meter. Itu sahaja sasaran saya,” katanya.

Jonah sebelum ini mencipta rekod lontar peluru pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) menerusi lontaran sejauh 18.22 meter.

Kedua-dua atlet itu kini mahu memanfaatkan pentas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 untuk menguji kemampuan dan memberi saingan kepada atlet lontar peluru terbaik Asia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.