
SUNGAI PETANI, 18 Oktober – Seramai 2,500 peserta menyertai Program Jelajah Negaraku: Aku Kasih Malaysia Peringkat Komuniti Sungai Petani, anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Jabatan Perdana Menteri bagi memperkukuh perpaduan serta menyemai nilai Malaysia MADANI dalam kalangan masyarakat.
- Perpaduan perlu diperkukuh sebagai kunci keharmonian negara oleh semua peringkat masyarakat.
- Kepelbagaian kaum, agama dan budaya harus dijadikan kekuatan serta kebanggaan negara.
- Program menjadi platform mendekatkan agensi kerajaan dengan komuniti serta menyampaikan maklumat kenegaraan tepat.
- Sukarelawan Sahabat MADANI dilancarkan untuk menjadi ejen perubahan menyemai nilai MADANI dalam sekolah, kampus dan masyarakat.
Program selama tiga hari itu disempurnakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul, di Dataran Masjid Nurul Hasanah, Kampung Bukit Kechil Simpor, di sini pada Sabtu.
Dalam ucapannya, Tan Sri Johari menegaskan, perpaduan merupakan kunci keharmonian negara yang perlu terus dipelihara oleh semua peringkat masyarakat.
Katanya, kepelbagaian kaum, agama, dan budaya di negara ini tidak harus dijadikan titik pemisah, sebaliknya perlu menjadi kekuatan dan keunikan yang membanggakan.
Pada masa sama, penganjuran program seumpama itu turut menjadi platform untuk mendekatkan agensi kerajaan dengan masyarakat, selain menyalurkan maklumat kenegaraan yang tepat bagi meningkatkan kefahaman rakyat demi memelihara keharmonian negara.
Pada majlis sama, Tan Sri Johari,turut melancarkan Sukarelawan Sahabat MADANI yang yang menghimpunkan warga komuniti terutama golongan belia, mahasiswa dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) di negeri Kedah.
Skuad berkenaan berperanan sebagai ejen perubahan bagi menyebarluaskan kefahaman dan penghayatan nilai Malaysia MADANI di peringkat sekolah, kampus serta masyarakat melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan dalam menyemai rasa cinta terhadap negara.