‘Orang Perang’ angkat keberanian kaum Semai

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 September – Keberanian dan semangat juang masyarakat Orang Asli kaum Semai mempertahankan tanah air diangkat ke layar lebar menerusi filem epik aksi ‘Orang Perang’, arahan Hashim Rejab.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kisah diilhamkan daripada pengalaman Bah Tangga yang direkrut paksa, melarikan diri dan menghadapi kekejaman komunis.
  • Pertemuan dengan Jungle Squad dan Inspektor Syed Zainal mengubah pandangan Bah Tangga terhadap masyarakat Melayu dan British.
  • Latihan menyertai Senoi Praaq mengetengahkan kepakaran penjejakan Orang Asli dalam perjuangan menentang ancaman.
  • Pertemuan semula dengan Bah Pelangkin mencetuskan konflik persahabatan, kesetiaan dan pilihan sukar demi keselamatan kampung.

Inspirasi daripada kisah benar masyarakat Semai, membawa penonton menyelusuri kehidupan masyarakat Orang Asli di Tanah Melayu pada era 1950-an, ketika ancaman komunis menggugat keselamatan penduduk.

Kisah yang berpusat pada Bah Tangga, lakonan Niezam Zaidi, seorang pemuda Orang Asli yang terpaksa berdepan konflik selepas kampungnya di pedalaman Cameron Highlands diserang kumpulan komunis.

Direkrut secara paksa, Bah Tangga mula mempersoalkan perjuangan kumpulan itu selepas menyaksikan kekejaman terhadap masyarakatnya sendiri.

Bersama sahabatnya, Bah Ayob, lakonan Syazwan Zulkifli, dia melarikan diri ke hutan sebelum ditahan Jungle Squad pimpinan Inspektor Syed Zainal, watak yang dijayakan Fauzi Nawawi.

Pertemuan itu menjadi titik perubahan apabila pendekatan Syed Zainal perlahan-lahan mengubah pandangan Bah Tangga terhadap masyarakat Melayu dan British, sekali gus membuka ruang kepada kepercayaan baharu.

Perjalanan Bah Tangga kemudian diteruskan menerusi latihan untuk menyertai Senoi Praaq, dengan kepakaran masyarakat Orang Asli menjejaki pergerakan di hutan menjadi antara kekuatan utama dalam perjuangan menentang ancaman komunis.

Namun, perjuangan itu kembali diuji apabila Bah Tangga bertemu semula dengan sahabat lamanya, Bah Pelangkin, lakonan Ammar Alfian, yang kini berada di pihak komunis.

Pertemuan tersebut mencetuskan konflik antara persahabatan, kesetiaan, dendam dan keinsafan, sekali gus menguji pilihan yang perlu dibuat Bah Tangga demi keselamatan masyarakatnya.

Selain aksi dan konflik, ‘Orang Perang’ turut mengetengahkan hubungan antara masyarakat Orang Asli, pasukan keselamatan serta individu daripada latar berbeza dalam usaha membina kepercayaan dan mencapai keamanan.

Barisan pelakon turut menampilkan Adam Corrie, Hairi Safwan, Razib Salimin, Kazar Sarsi, Azhan Rani, Pui Yi dan Vanida Imran.

Penggambaran dilakukan di beberapa lokasi termasuk Perdik Fall di Ulu Langat, Bukit Tunku dan Kem Asia, Semenyih, dengan latar hutan serta perkampungan menjadi elemen penting dalam menghidupkan suasana Tanah Melayu era 1950-an.

Dalam pada itu, Niezam Zaidi turut bergandingan dengan vokalis Langkasuka, Elly Langkasuka, menerusi lagu runut bunyi asal (OST) ‘Sumpah Leluhur’, hasil ciptaan Achoi Floor 88.

Lagu berkenaan mengetengahkan tema kasih, kerinduan, penantian dan semangat perjuangan, sekali gus melengkapi kisah pengorbanan masyarakat Semai yang menjadi teras filem berkenaan.

Penghasilan muzik turut membabitkan Oja pada gitar, Achoi pada bes dan Aki Seruling pada flut.

Gabungan vokal Niezam dan Elly memberikan dimensi emosi kepada perjalanan Bah Tangga, terutama kisah mereka yang berjuang di medan konflik dan keluarga yang setia menanti kepulangan.

‘Orang Perang’ bukan sekadar memaparkan pertempuran di rimba, sebaliknya mengangkat kisah masyarakat Orang Asli kaum Semai serta keberanian mereka berdepan ancaman, prasangka dan pilihan sukar demi mempertahankan tanah air.

Filem arahan Hashim Rejab itu menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 1 Oktober 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.