Kelab Perempuan Membaca diperluas ke seluruh negara

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek pada program Kelab Perempuan Membaca di ibu negara / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 September – Inisiatif Kelab Perempuan Membaca akan diperluas ke seluruh negara bagi memperkukuh budaya membaca, memperkaya wacana intelektual serta melahirkan lebih ramai wanita berilmu dan berdaya fikir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peluasan dilaksanakan secara berperingkat melalui penganjuran pertemuan Kelab di setiap negeri.
  • Memberi platform santai kepada wanita pelbagai usia untuk berkongsi bahan bacaan, pengalaman dan pandangan mengenai isu kehidupan.
  • Memupuk budaya membaca bagi membina pemikiran kritis, keyakinan wanita dan menggalakkan interaksi antara generasi.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, peluasan itu akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi penganjuran pertemuan kelab berkenaan dari negeri ke negeri.

Beliau berkata, Kelab Perempuan Membaca menyediakan platform santai kepada wanita daripada pelbagai peringkat usia untuk berkongsi bahan bacaan, pengalaman serta pandangan mengenai isu yang berkaitan dengan kehidupan dan masyarakat.

“Saya rasa bangga melihat komitmen mereka daripada siri pertama dan kedua ini berterusan.

“Saya harap kelab membaca yang terbesar ini akan terus berkembang dan perancangan kita untuk pergi dari negeri ke negeri selepas ini,” katanya selepas menghadiri Pertemuan Kelab Perempuan Membaca Siri Kedua bertemakan “Perempuan Dalam Sejarah” di sini hari ini.

Fadhlina berkata, budaya membaca perlu terus dipupuk kerana ia bukan sahaja memperluas pengetahuan, malah membina keupayaan berfikir secara kritis dan membentuk keyakinan wanita untuk memainkan peranan lebih besar dalam keluarga, masyarakat serta negara.

“Dengan adanya kelab seperti ini, kita ada platform yang sangat baik untuk semua berkongsi bacaan tanpa mengira usia,” katanya.

Pertemuan kali kedua itu turut diserikan dengan kehadiran Sasterawan Negara ke-13, Datuk Dr Zurinah Hassan serta 30 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Pudu.

Inisiatif Kelab Perempuan Membaca dicetuskan oleh Fadhlina berasaskan keyakinan bahawa budaya membaca merupakan asas penting dalam membentuk wanita berilmu, berdaya fikir dan berkeupayaan memimpin perubahan.

Program berkenaan turut menjadi ruang untuk menggalakkan interaksi antara generasi melalui perkongsian buku dan pengalaman, sekali gus membina komuniti pembaca wanita yang lebih luas di seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.