Malaysia dipilih Setiausaha Agung Pertubuhan Institusi Audit Tertinggi Asia

Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 September – Malaysia sekali lagi menerima pengiktirafan antarabangsa apabila Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dipilih sebulat suara sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Institusi Audit Tertinggi Asia (ASOSAI) bagi penggal 2027 hingga 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekretariat ASOSAI akan berpusat di Malaysia mulai 2027, mengambil alih peranan daripada pihak berkuasa audit China.
  • Sekretariat akan menyelaras program ASOSAI, urusan Lembaga Pengelola, komunikasi antara anggota, serta pengurusan pentadbiran dan kewangan.
  • Pemilihan mencerminkan keyakinan negara anggota terhadap kepimpinan Ketua Audit Negara dalam pembangunan kapasiti, penyelidikan dan perkongsian kepakaran.
  • Malaysia menerajui WGSOEA sejak 2024; sedang membangunkan garis panduan pengauditan syarikat milik kerajaan, dilancarkan pada ASOSAI ke-17, Jeddah 2027.

Jabatan Audit Negara dalam kenyataan memaklumkan, pemilihan itu diputuskan pada Mesyuarat Lembaga Pengelola ASOSAI ke-63 di Astana, Kazakhstan, pada 17 September lalu, sekali gus mengembalikan jawatan berkenaan kepada Malaysia selepas kali terakhir disandang pada 1982.

“Sebagai Setiausaha Agung, Wan Suraya akan mengetuai Sekretariat ASOSAI yang akan berpusat di Malaysia mulai 2027, mengambil alih tanggungjawab berkenaan daripada National Audit Office of the People’s Republic of China.

“Sekretariat itu akan menyelaras program ASOSAI, urusan Lembaga Pengelola, komunikasi antara negara anggota serta pengurusan pentadbiran dan kewangan organisasi.

“Pemilihan berkenaan turut mencerminkan keyakinan negara anggota terhadap kepimpinan Wan Suraya, khususnya dalam pembangunan kapasiti, penyelidikan dan perkongsian kepakaran pengauditan sektor awam,” menurut kenyataan itu.

Dalam mesyuarat sama, beliau membentangkan kemajuan ASOSAI Working Group on State-Owned Enterprises Audit (WGSOEA) yang dipengerusikan Malaysia sejak 2024 dan kini mempunyai 34 negara anggota.

Kumpulan kerja itu sedang membangunkan garis panduan ASOSAI berkaitan pengauditan syarikat milik kerajaan yang dijadual dilancarkan pada Perhimpunan Agung ASOSAI ke-17 di Jeddah, Arab Saudi, pada 2027.

Lawatan kerja tersebut turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Audit Negara Malaysia dan Board of Audit and Inspection of Korea, selain Malaysia menjadi tuan rumah bengkel pengauditan prestasi projek kerja awam pada Oktober ini serta berkongsi pengalaman berkaitan pembangunan mampan dan penglibatan awam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.