
KUALA LUMPUR, 19 September – Sebanyak 20 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 10 pagi ini, dengan Serian, Sarawak mencatat bacaan tertinggi iaitu 170.
- Beberapa kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
- ASMC mengesan 1,143 kebakaran di Kalimantan dan 89 di Sumatera; asap bergerak ke barat Sarawak dan selatan Filipina.
- JAS memantau risiko kebakaran, tingkatkan pemeriksaan dan rondaan di tanah gambut, tapak pelupusan serta kawasan pertanian dan ladang.
- Orang ramai disaran tidak membakar terbuka, lapor kebakaran kepada Bomba 999 atau JAS 1-800-88-2727; semak IPU melalui APIMS atau MyJAS.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan memaklumkan, selain Serian, Kuching turut merekodkan bacaan tinggi iaitu 169, diikuti Seri Manjung, Perak; Sri Aman dan Samarahan, Sarawak masing-masing 163.
“Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Sibu (158), Shah Alam (156), Batu Muda (154), Cheras dan Putrajaya (153), Nilai dan Larkin (151), serta Sarikei (151).
“Johan Setia merekodkan IPU 133, diikuti Bintulu (127), Petaling Jaya (119), Bukit Rambai (117), Kapit (110), Tanjung Malim (107) dan Tawau (103),” menurut kenyataan itu.
Menurut JAS, keadaan itu berlaku ketika cuaca kering berterusan di sebahagian rantau Selatan ASEAN.
Berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) pada 18 September, sebanyak 1,143 lokasi kebakaran dikesan di Kalimantan dan 89 di Sumatera, manakala keadaan itu tidak dikesan di Malaysia.
ASMC turut melaporkan kepulan asap sederhana dari bahagian selatan Sumatera, manakala kepulan asap sederhana hingga tebal dari Kalimantan diperhatikan bergerak ke arah barat Sarawak dan selatan Filipina.
JAS terus memantau risiko kebakaran, khususnya di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah, selain meningkatkan pemeriksaan dan rondaan di kawasan berisiko termasuk kawasan pertanian, tanah gambut dan ladang.
Orang ramai turut disarankan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka ketika cuaca panas dan kering serta melaporkan kejadian kebakaran atau pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melalui talian 999 atau JAS di talian 1-800-88-2727.
Bacaan IPU terkini yang dikemas kini setiap jam boleh disemak melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS), aplikasi MyJAS EQMS serta saluran rasmi JAS.