Projek Wi-Fi IPTA kini siap 55%, dijangka selesai sepenuhnya September

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching ketika meninjau pelaksanaan Projek Wi-Fi IPTA Fasa 3 di UTeM

DURIAN TUNGGAL, 19 September – Projek Wi-Fi Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di 539 lokasi di seluruh negara dijangka dapat disiapkan sepenuhnya menjelang September ini, dengan 294 lokasi atau 55 peratus sudah siap setakat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek bernilai RM664 juta dilaksanakan sepenuhnya oleh MCMC melalui Pemberian Perkhidmatan Sejagat untuk menambah baik liputan internet di kampus.
  • Di UTeM, 302 titik capaian dipasang 27 Ogos, menjadikan keseluruhan 410 titik Wi-Fi untuk lebih 1,000 pelajar.
  • Pembinaan menara telekomunikasi 4G baharu di UTeM sedang berjalan dan dijangka siap sepenuhnya pada November, meningkatkan capaian pelajar.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, projek bernilai 664 juta ringgit itu dilaksanakan bagi menambah baik liputan internet di kampus.

Pelaksanaannya ditanggung sepenuhnya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), melalui Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

“Jadi untuk Fasa 1 dan 2 sebenarnya semua telah siap, ia meliputi 191 lokasi. Sekarang kita berada di Fasa 3 dan juga MARA dan KESUMA.

“Untuk IPTA Fasa Ketiga meliputi 42 lokasi daripada 204 lokasi, iaitu 21 peratus telah pun siap dan baki lokasi masih dalam peringkat penyelarasan rantaian dan pemasangan.

“Untuk MARA, kami telah kenal pasti 110 lokasi, antaranya 60 lokasi telah siap, iaitu 55 peratus dan akhirnya ialah untuk institusi di bawah KESUMA, kami telah kenal pasti 34 lokasi dan satu telah siap, yang lain dalam proses,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Projek Wi-Fi IPTA Fasa 3 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini.

Menerusi projek itu, lebih 1,000 pelajar UTeM bakal menikmati akses internet menerusi 302 titik capaian (Access Point) yang telah siap dipasang pada 27 Ogos lalu di bawah Fasa 3.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan titik capaian Wi-Fi di UTeM sebanyak 410.

Selain kemudahan Wi-Fi, pembinaan menara telekomunikasi 4G baharu juga sedang dilaksanakan di UTeM dan dijangka siap sepenuhnya, November ini.

Sementara itu, pelajar UTEM yang ditemui mengakui kemudahan berkenaan dapat membantu meningkatkan lagi kualiti serta capaian internet untuk kegunaan pelajar.

“Bila kita ada kemudahan daripada Kementerian Komunikasi ini, bagi saya ia sedikit sebanyak dapat meningkatkan lagi kualiti internet di UTeM dan seterusnya membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar,” kata Muhammad Quwayyis Khairuddin.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTEM, Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif pula yakin capaian internet di UTeM, terutama untuk kegunaan pelajar akan menjadi lebih baik selepas ini.

Di Melaka, Projek Wi-Fi IPTA membabitkan keseluruhan 1,399 titik capaian di 10 kampus awam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.