Risiko konflik ketenteraan berskala besar di Eropah semakin meningkat

Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico / Foto Reuters

PRESOV, 18 September – Risiko tercetusnya konflik ketenteraan berskala besar di Eropah semakin meningkat susulan perang di Ukraine, tegas Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkembangan di Ukraine dan kenyataan keras menimbulkan kebimbangan bahawa perang boleh merebak lebih luas di Eropah.
  • Konflik di Ukraine semakin tidak terkawal, kata beliau, dan perlu dibincangkan dengan penuh kesungguhan.
  • Sebarang insiden kecil berpotensi mencetuskan tindak balas melibatkan negara anggota NATO.
  • Slovakia menghormati komitmen NATO termasuk Artikel 5 namun akan berusaha mengelak negara terheret ke dalam konflik.

Beliau berkata, perkembangan semasa di Ukraine serta kenyataan yang semakin keras daripada beberapa pihak menimbulkan kebimbangan bahawa perang itu boleh merebak lebih luas di Eropah.

“Saya tidak membesar-besarkan perkara ini. Saya bimbang tentang perang dan saya mahu bercakap mengenainya dengan penuh kesungguhan.

“Apa yang berlaku di Eropah hari ini, apa yang kita dengar dan lihat sekarang, ialah konflik ketenteraan di Ukraine sudah semakin tidak terkawal,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut mengingatkan supaya perkembangan berkenaan tidak dipandang ringan kerana sebarang insiden boleh mencetuskan tindak balas lebih luas melibatkan negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

“Tolong jangan pandang ringan perkara ini. Keadaan tidak pernah seserius dan setegang sekarang.

“Dari segi kemungkinan tercetusnya konflik ketenteraan di seluruh Eropah, keadaannya kini amat membimbangkan dan menjadi tanggungjawab kita untuk menanganinya,” katanya.

Pada masa sama, Fico menegaskan Slovakia kekal menghormati komitmennya sebagai anggota NATO, termasuk Artikel 5 berkaitan pertahanan bersama.

Bagaimanapun, beliau mahu memastikan negaranya tidak terheret ke dalam sebarang konflik bersenjata.

“Saya tidak mahu Slovakia terlibat dalam sebarang konflik ketenteraan disebabkan Artikel 5.

“Ya, kami terikat dengannya, kami menghargainya, kami mementingkan kerjasama dan menunaikan tanggungjawab kami, tetapi sebagai Perdana Menteri saya akan melakukan segala-galanya untuk memastikan Slovakia tidak pernah diheret ke dalam konflik ketenteraan,” katanya.

Fico dijadual melawat Ukraine bagi menghadiri pertemuan bersama beberapa pemimpin Eropah ketika usaha mencari jalan ke arah keamanan terus menjadi perhatian. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.