
PASIR PUTEH, 18 September – Seorang lelaki ditahan bersama 50 kotak ayam beku bernilai kira-kira RM6,000 yang disyaki diseludup dari Thailand dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Cherang Ruku, Semerak pada Khamis lalu.
- Serbuan Op Taring Wawasan Kelantan dijalankan kira-kira pukul 11.30 pagi oleh Cawangan Risik dan Task Force Batalion 8 PGA.
- Suspek membawa pasukan ke stor di Projek LTN Air Tawar; pintu stor berkunci dan gagal mengemukakan dokumen.
- Kes diserahkan kepada JKDM Kota Bharu dan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira pukul 11.30 pagi itu dijalankan anggota Cawangan Risik dan Task Force Batalion 8 PGA.
Menurutnya, suspek berusia 23 tahun itu membawa pasukan serbuan ke sebuah stor di alamat Projek LTN Air Tawar sebelum pemeriksaan dilakukan.
“Setibanya di lokasi, pintu stor didapati berkunci. Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barangan berkenaan dan ia disyaki diseludup dari Thailand.
“Pemeriksaan kemudian menemukan sebuah kontena sejuk beku berwarna merah yang mengandungi kotak-kotak berwarna coklat berisi ayam beku,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Hasil soal siasat awal mendapati suspek mendakwa ayam beku itu diseludup dari Thailand dan dihantar menggunakan beberapa kenderaan pada waktu malam berikutan permintaan tinggi pelanggan.
Beliau berkata, bekalan itu kemudiannya dihantar ke kedai makan sekitar Pasir Puteh untuk dijual pada harga RM120 sekotak.
Katanya, suspek dan kesemua barang rampasan kemudian diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.