
PASIR MAS, 18 September – Dua lelaki ditahan selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) menemukan lebih 2.2 kilogram ganja dalam sebuah kenderaan di Banggol Kong, Pasir Mas, semalam.
- Dua lelaki berusia 25 dan 23 tahun ditahan kira-kira pukul 7 malam semasa pemeriksaan SJR Banggol Kong.
- Pemeriksaan menemui ketulan disyaki ganja dan dua telefon bimbit tersembunyi di beberapa ruang kenderaan.
- Saringan awal menunjukkan seorang positif methamphetamine manakala seorang lagi positif THC.
- Bekalan dipercayai diambil di Pengkalan Kubor daripada warga Thailand, dihantar dari Tak Bai menggunakan bot; kes disiasat mengikut ADB 1952.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, kedua-dua suspek berusia 25 dan 23 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7 malam.
Katanya, penahanan dilakukan ketika anggota SJR Banggol Kong, Kompeni A, Batalion 8 PGA menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan menemukan 1.32 kilogram ketulan mampat disyaki ganja dan 906.6 gram ketulan disyaki bunga ganja, selain dua telefon bimbit.
“Pemeriksaan menemui barang kes di bahagian bawah tempat duduk pemandu, ruang simpanan papan pemuka dan ruang penyimpanan tayar ganti di dalam bonet belakang kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil saringan awal mendapati suspek pertama positif methamphetamine, manakala suspek kedua positif THC.
“Kedua-dua suspek dan barang kes kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM119,718, termasuk kenderaan dan dua telefon bimbit.
Ahmad Radzi berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bertolak dari Kuala Lumpur ke Kelantan pada malam 16 September lalu sebelum mengambil bekalan ganja di Pengkalan Kubor, Tumpat untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur bagi tujuan pasaran.
Menurutnya, bekalan berkenaan dipercayai diperoleh melalui seorang lelaki warga Thailand sebelum dihantar dari Tak Bai, Thailand ke Malaysia menggunakan bot.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.