
WASHINGTON, 18 September- Amerika Syarikat meluluskan cadangan penjualan 48 buah jet pejuang F-35 kepada Arab Saudi bernilai AS$24.3 bilion.
- Urus niaga itu dijangka meningkatkan keupayaan ketenteraan Arab Saudi, yang lama berusaha mendapatkan jet berkenaan.
- Jabatan Negara AS berkata ia akan membantu Arab Saudi menghalang ancaman semasa dan masa depan serta memperkukuh pertahanan negara.
- Langkah itu juga dikatakan meningkatkan kesalingoperasian antara angkatan bersenjata Arab Saudi dan tentera Amerika Syarikat.
- Jabatan Negara memaklumkan cadangan penjualan kepada Kongres, yang perlu meluluskan sebelum urus niaga diteruskan.
Menurut Jabatan Negara AS, urus niaga itu dijangka meningkatkan keupayaan ketenteraan Arab Saudi yang sejak sekian lama berusaha mendapatkan jet berkenaan.
“Cadangan penjualan itu akan meningkatkan keupayaan Arab Saudi untuk menghalang ancaman semasa dan masa depan dengan memperkukuh pertahanan negara serta meningkatkan kesalingoperasian dengan tentera AS,” menurut kenyataan jabatan tu pada Khamis.
Menurut Jabatan Negara AS, pihaknya telah memaklumkan mengenai perkara itu kepada Kongres untuk kelulusan.
Kenyataan itu juga tidak menyatakan tempoh masa bagi penghantaran jet berkenaan.
Penjualan F-35 itu merupakan pembelian aset ketenteraan terbaharu Arab Saudi daripada AS selepas Washington meluluskan beberapa urus niaga pertahanan bernilai berbilion dolar tahun ini.
Pada awal September, Jabatan Negara AS meluluskan penjualan lebih 10,000 bom kepada Riyadh bernilai AS$5 bilion termasuk bom seberat 2,000 paun.
Washington turut meluluskan penjualan 60 enjin kereta kebal dan peralatan berkaitan bernilai AS$750 juta bulan ini, selain urus niaga bernilai AS$1.96 bilion pada Julai bagi penjualan bahagian panduan yang membolehkan roket ditukar kepada senjata berpanduan tepat. -AFP