
WASHINGTON, 18 September- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata kemajuan besar dicapai ke arah penubuhan pangkalan tentera AS di Poland selepas Warsaw mengesahkan rundingan dengan Washington mengenai cadangan itu.
- Poland sedang berbincang dengan AS mengenai kemungkinan penubuhan pangkalan AS tetap di wilayahnya.
- Hampir 10,000 anggota tentera AS kini ditempatkan di Poland, tetapi kebanyakannya secara bergilir.
- Perbincangan berlaku ketika pentadbiran AS menyemak kehadiran tentera di Eropah, mencetuskan kebimbangan negara sekutu mengenai pengurangan jumlah tentera.
“Berkat kepimpinan berani sahabat saya, Presiden Poland, Karol Nawrocki kemajuan besar sedang dicapai ke arah penubuhan pangkalan Tentera Darat AS di Poland.
“Jika perkara ini berlaku, lokasi pangkalan itu akan diumumkan tidak lama lagi. Ini akan menjadi langkah bersejarah bagi Perikatan AS-Poland,” kata Trump dalam satu hantaran di media sosial.
Timbalan Menteri Pertahanan Poland, Pawel Zalewski pada Ogos berkata Warsaw sedang berbincang dengan Washington mengenai kemungkinan menubuhkan pangkalan tentera AS secara tetap di wilayahnya.
Hampir 10,000 anggota tentera AS kini ditempatkan di Poland, namun kebanyakannya secara bergilir.
Perkembangan itu berlaku ketika pentadbiran Trump menjalankan semakan rasmi terhadap kehadiran tentera AS di Eropah yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara sekutu mengenai kemungkinan pengurangan jumlah tentera AS di rantau itu.
Poland yang bersempadan dengan Ukraine dan Rusia di sayap timur Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kini memperuntukkan kira-kira lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pertahanan.
Pada sidang kemuncak NATO di The Hague tahun lalu, negara anggota turut berikrar memperuntukkan sekurang-kurangnya lima peratus KDNK bagi perbelanjaan keselamatan menjelang 2035 termasuk 3.5 peratus khusus untuk perbelanjaan ketenteraan. -AFP