
TEMERLOH, 17 September – Kerajaan Negeri Pahang berjaya mencatatkan kutipan hasil melepasi RM1 bilion, sehingga semalam bagi tahun 2026.
- Pencapaian tahun kelima berturut-turut dicapai tanpa membebankan rakyat.
- KDNK Pahang meningkat kepada kira-kira RM71 bilion pada 2025, berbanding RM68.8 bilion tahun sebelumnya.
- Jumlah pelaburan direkodkan sekitar RM18 bilion pada 2025.
- Peningkatan hasil dicapai melalui pemerkasaan sistem kutipan dan kecekapan pentadbiran; hasil dikembalikan kepada rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan ia menjadikannya pencapaian tahun kelima berturut-turut tanpa membebankan rakyat.
“Pencapaian itu membuktikan pengurusan kewangan dan pentadbiran negeri semakin kukuh,”katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat Negeri Pahang di Dataran Temerloh, malam tadi.
Beliau turut memaklumkan KDNK Pahang pada 2025 meningkat kepada kira-kira RM71 bilion berbanding RM68.8 bilion pada 2024.
Dari sudut pelaburan pula, Pahang merekodkan jumlah pelaburan sekitar RM18 bilion pada 2025.
“Peningkatan hasil dicapai menerusi usaha memperkemas sistem kutipan serta meningkatkan kecekapan pentadbiran.
“Hasil negeri yang diperoleh bukan untuk dibangga-banggakan, sebaliknya perlu dikembalikan semula kepada rakyat,”katanya.
Majlis sambutan itu dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 7,000 pengunjung.