
KUCHING, 16 September – Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan satu waad atau ikatan nasional yang perlu dihormati dan dilaksana sebagai tanggungjawab seluruh negara, bukan hanya urusan Sabah dan Sarawak.
- Janji pemimpin terdahulu memperkukuh hubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak perlu dihormati.
- Keputusan lama mesti diteliti dan dinilai dengan serius untuk pelaksanaan yang tepat.
- Beberapa perkara sudah dilaksanakan melalui rundingan Persekutuan-negeri, termasuk penyerahan Pelabuhan Bintulu dan kawal selia elektrik kepada Sabah.
- Teruskan penyelesaian melalui rundingan baik berasaskan persahabatan dan lihat kepentingan Semenanjung, Sabah serta Sarawak dalam kerangka negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, MA63 merupakan ikatan janji yang dibuat pemimpin terdahulu bagi memperkukuh hubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Kita sudah berjanji. Para pemimpin kita dahulu telah memutuskan untuk memperkuat ikatan ini.
“Sebab itu kita harus ambil serius dalam meneliti, menelaah semua keputusan yang telah kita buat dahulu,” katanya.
Beliau menyatakannya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026, di sini.
Jelas Perdana Menteri lagi, beberapa perkara berkaitan MA63 telah dilaksana menerusi rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri berkenaan bagi mencapai penyelesaian yang mengambil kira kepentingan bersama.
Antaranya termasuk penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak serta kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah.
Pendekatan sama, katanya, perlu diteruskan bagi menyelesaikan perkara berkaitan MA63 yang masih tertangguh menerusi rundingan secara baik dan berasaskan semangat persahabatan.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan kepentingan Semenanjung, Sabah dan Sarawak perlu dilihat dalam kerangka sebuah negara bagi memastikan pembangunan serta kesejahteraan rakyat dapat diperkukuh secara bersama.