
KUALA LUMPUR, 16 September – Berkuat kuasa tengah malam ini (Khamis), harga petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel masing-masing naik 35 sen.
- Harga runcit RON97 RM4.85, RON95 tanpa subsidi RM4.37, diesel tanpa subsidi RM5.27 hingga 23 September.
- Subsidi kekal: BUDI95 RM1.99, BUDI Diesel RM2.10; SKPS petrol RM2.05, SKDS diesel RM2.15.
- Kerajaan naik kuota BUDI kepada 300 liter sebulan, tambahan 100 liter bagi pikap dan jip, kelayakan sehingga 400 liter.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), hingga 23 September, harga RON97 ditetapkan RM4.85 seliter, RON95 tanpa subsidi RM4.37 seliter, manakala diesel tanpa subsidi pula berharga RM5.27 seliter.
Harga RON95 bawah skim BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter, sementara harga diesel bawah inisiatif BUDI Diesel juga tidak berubah, pada RM2.10 seliter.
Dalam pada itu, petrol bersubsidi bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal pada RM2.05 seliter, manakala diesel bersubsidi menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dijual pada RM2.15 seliter.
MOF memaklumkan, harga minyak mentah dunia melonjak dengan ketara mencecah hampir AS$100 setong sepanjang tempoh pengiraan bawah Mekanisme Harga Automatik (APM), susulan ketegangan yang kembali memuncak antara Amerikat Syarikat dengan Iran serta kebimbangan terhadap gangguan bekalan petroleum melalui Selat Hormuz.
Pada masa sama, gangguan kapasiti penapisan di Rusia terus mengehadkan pengeluaran produk petrol petroleum bertapis, sekali gus memberi tekanan kepada harga petroleum dunia.
Kerajaan MADANI terus komited melindungi orang awam dan sektor perniagaan daripada impak ketidaktentuan global, termasuk mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.
Bermula 1 September lepas, kuota bulanan bagi BUDI95 dan BUDI Diesel dinaikkan semula kepada 300 liter berbanding 200 liter sebelum ini.
Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak turut menerima tambahan 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 400 liter sebulan.
Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.