Program cucian kereta percuma, apresiasi rakyat sempena Hari Malaysia

Foto FB XG Coating Malaysia

GEORGE TOWN, 16 September – Semangat Hari Malaysia bukan sahaja dizahirkan melalui kibaran Jalur Gemilang, malah turut diterjemah menerusi pelbagai inisiatif memberi kembali kepada masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • XG Coating Malaysia menganjurkan cucian kenderaan percuma 24 jam di beberapa cawangan seluruh negara.
  • Program dijalankan 15 Sept hingga tengah malam 16 Sept sebagai tanda apresiasi kepada orang ramai sempena Hari Malaysia.
  • Pelanggan memuji inisiatif kerana memberi manfaat langsung dan berharap program sebegini diteruskan pada masa hadapan.
  • XG Coating bercadang mencipta rekod MBOR cucian terbanyak 24 jam, sudah melepasi 523 unit; pengiktirafan dijadual esok.

Antara yang tampil dengan pendekatan itu ialah syarikat automotif tempatan, XG Coating Malaysia yang menganjurkan program cucian kenderaan percuma selama 24 jam di beberapa cawangannya di seluruh negara.

Program yang bermula pada 15 September dan berakhir tengah malam 16 September itu diadakan sebagai tanda apresiasi kepada orang ramai sempena sambutan Hari Malaysia.

Bagi pelanggan, Mohd Shahrul Hassan, pendekatan berkenaan memberi kelainan kerana menawarkan manfaat secara langsung kepada masyarakat berbanding program sambutan yang lazim diadakan.

“Program ini agak menarik kerana sebelum ini kita biasa lihat pemberian makanan percuma atau program lain, tetapi kali ini mereka menawarkan cucian kereta secara percuma.

“Kalau boleh, program seperti ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Mohd Saufan Ramli turut menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai cara berbeza untuk meraikan Hari Malaysia sambil berkongsi manfaat dengan orang ramai.

Lebih bermakna, program itu juga bakal melakar pencapaian terbaharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi cucian kenderaan terbanyak dalam tempoh 24 jam.

Sebelum ini, rekod pencucian kereta dalam tempoh 24 jam dipegang sebuah koperasi selepas berjaya mencuci 523 kenderaan.

Pengarah Urusan XG Coating Malaysia, Salim Abu Bakar berkata, pencapaian berkenaan memberi makna tersendiri kerana dilaksanakan bersempena sambutan Hari Malaysia.

“Kita bercadang mencipta rekod menerusi cucian tanpa henti di cawangan kami di seluruh Malaysia dan alhamdulillah kita sudah melepasi 523 unit,” katanya.

Program berkenaan dijadual menerima pengiktirafan MBOR, esok.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.