
KUALA LUMPUR, 16 September – Mirabel Ting mencipta sejarah sebagai pemain golf wanita Malaysia pertama memperoleh kad Jelajah Golf Profesional Wanita (LPGA) menerusi Epson Tour.
- Beliau membuka laluan ke pentas utama golf wanita dunia musim 2027 selepas hanya semusim menjadi profesional.
- Prestasi universiti cemerlang: tujuh kemenangan bersama Florida State University dan penerima Anugerah Annika 2025.
- Gandingan dengan kakaknya Michelle sebagai kedi membantu dua kemenangan Epson Tour, termasuk Smoky Mountain Championship dan Dream First Bank Charity Classic.
Pencapaian tersebut membuka laluan untuk beliau melangkah ke pentas utama golf wanita dunia bagi musim 2027.
Anak jati Sarawak itu melakar kejayaan berkenaan selepas hanya semusim bergelar pemain profesional, sekali gus melengkapkan satu lagi pencapaian besar dalam perjalanan kerjayanya.
“Ini impian saya sejak kecil. Ia juga impian datuk, ayah, nenek dan kakak saya, Michelle. Sebahagian daripada sebab saya mahu berada di LPGA juga kerana kakak.
“Saya mahu berada di sana dan melakukan yang terbaik,” katanya menerusi kenyataan di laman sesawang epsontour.com.
Perjalanan Mirabel ke pentas profesional bagaimanapun tidak mudah apabila bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung, dua bulan selepas beliau memulakan pengajian di Augusta University pada 2022.
Namun, pemain kelahiran Miri itu bangkit dan mencipta musim cemerlang ketika bersama Florida State University (FSU) dengan meraih tujuh kemenangan.
Prestasi itu turut menyaksikan beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Annika 2025 bagi pemain terbaik golf wanita Divisyen I.
Mirabel kemudian beralih ke pentas profesional pada Julai 2025 sebelum meneruskan momentum positif menerusi Epson Tour.
Kejayaannya musim ini turut dibantu gandingan bersama Michelle yang bertindak sebagai kedi, termasuk ketika Mirabel meraih kemenangan pertama di Smoky Mountain Championship pada Ogos.
Gandingan adik-beradik itu kemudian meneruskan kecemerlangan dengan satu lagi kemenangan pada Dream First Bank Charity Classic beberapa minggu selepas itu.