Pendidikan untuk semua: Fadhlina tekan kesamarataan peluang anak bangsa

Foto Facebook Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 16 September – Prinsip pendidikan untuk semua terus diperkasa bagi memastikan akses pendidikan berkualiti dapat sampai kepada setiap anak bangsa tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mahupun geografi mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fadhlina tekankan peluang pendidikan mesti adil tanpa mengira latar belakang atau lokasi
  • Kisah penyatuan semula dua pelajar pedalaman menunjukkan mereka kini melanjutkan di IPG dan SMS Gua Musang
  • Kejayaan itu membuktikan pendidikan untuk semua mampu mengubah takdir generasi dari kawasan terpencil
  • Beliau memberi semangat kepada anak muda supaya terus kejar cita-cita, Malaysia milik mereka

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menegaskan tidak kira dari mana asalnya seseorang itu, hak serta peluang pendidikan mestilah disampaikan secara adil dan saksama.

“Malaysia ini luas. Ada anak yang membesar di tengah kota. Ada yang membesar ditemani rimba dan sungai. Tetapi walau di mana pun mereka membesar, pendidikan mesti sampai kepada mereka,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau.

Menerusi hantaran sempena sambutan Hari Malaysia itu, Datuk Seri Fadhlina turut berkongsi kisah penyatuan semula beliau dengan dua pelajar dari kawasan pedalaman yang kini berjaya melanjutkan pengajian masing-masing di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Sekolah Menengah Sains (SMS) Gua Musang.

Kejayaan tersebut menjadi bukti nyata bahawa pendidikan untuk semua mampu mengubah takdir generasi muda meskipun bermula dari kawasan terpencil.

Datuk Seri Fadhlina menekankan makna sebenar Malaysia bukan sekadar sebuah negara yang memiliki kepelbagaian wilayah, kaum, budaya dan agama, sebaliknya ia tentang jaminan kesamarataan bahawa tiada sesiapapun yang akan dipinggirkan.

“Malaysia mesti menjadi negara di mana asal seorang anak tidak menentukan sejauh mana dia boleh pergi,” tegas beliau.

Dalam hantaran itu juga, Datuk Seri Fadhlina turut meniupkan semangat buat generasi muda untuk terus menggapai cita-cita dan potensi diri mereka.

“Terbanglah sejauh-jauhnya anak-anak. Malaysia ini milik kalian,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.