Perpaduan rakyat asas kekuatan dan masa depan Malaysia

Foto FB Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 16 September – Perpaduan rakyat perlu terus diperkukuh sebagai asas kekuatan dan masa depan Malaysia dalam mendepani cabaran dunia yang semakin tidak menentu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekuatan Malaysia terletak pada rakyat hidup bersama dalam kepelbagaian agama, bangsa, budaya dan saling menghormati perbezaan.
  • Keamanan tidak boleh dianggap terjamin; semua pihak bertanggungjawab memelihara perpaduan dan mengelakkan perpecahan.
  • Hormati dan laksanakan Perjanjian Malaysia 1963 supaya Sabah dan Sarawak diberi ruang pembangunan adil melalui kerjasama federal.
  • Pelihara semangat kebersamaan supaya negara terus makmur, berdaya tahan dan disegani di peringkat antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kekuatan Malaysia terletak pada keupayaan rakyat hidup bersama dalam kepelbagaian agama, bangsa, budaya dan bahasa, selain saling menghormati perbezaan.

Tegas beliau, keamanan dan keharmonian yang dinikmati ketika ini tidak boleh dianggap akan sentiasa terjamin.

Sehubungan itu, semua pihak mempunyai tanggungjawab memelihara perpaduan serta mengelakkan perbezaan pandangan daripada membawa kepada perpecahan.

“Perpaduan bukan sekadar nilai yang kita warisi, tetapi asas yang menentukan kekuatan dan masa depan negara.

“Kita boleh berbeza pandangan dan pilihan, mengkritik serta tidak bersetuju, tetapi jangan sampai perbezaan menjadikan kita saling membenci dan melupakan bahawa kita semua adalah rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau bersempena sambutan Hari Malaysia 2026.

Menurut Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga perlu terus dihormati dan dilaksanakan, memandangkan Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan penting dalam sejarah serta masa depan negara.

Usaha memperkukuh federalisme melalui kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak akan menjadikan Malaysia lebih kukuh, termasuk dengan memastikan setiap wilayah diberi ruang untuk berkembang, didengari dan menikmati hasil pembangunan secara lebih adil.

Foto FB Zahid Hamidi

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam laman facebook beliau turut menegaskan kekuatan negara terletak pada kesatuan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama, budaya dan latar belakang.

Beliau berkata, perjalanan Malaysia sejak 1963 membuktikan kemajuan dan kesejahteraan dapat dibina apabila rakyat bergerak bersama, saling menghormati dan menjaga keharmonian yang diwarisi.

“Marilah kita terus memelihara semangat kebersamaan ini, memperkukuh perpaduan dan bersama-sama membina Malaysia yang lebih makmur, berdaya tahan dan disegani,” katanya.

Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri itu menggesa agar semangat kebersamaan terus dipelihara bagi memastikan Malaysia kekal aman, bersatu, makmur dan berdaya tahan, sempena sambutan Hari Malaysia 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.