
KUALA LUMPUR, 15 September – Akta baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) sedang dalam proses penggubalan.
- Kerajaan akan laksanakan perkara penting terlebih dahulu semasa proses berlangsung.
- Proses kajian melibatkan keseluruhan aspek AUKU, bukan sekadar isu pelajar.
- Perkara pelajar diminta dimasukkan; beberapa langkah eksekutif telah diumumkan bulan lalu.
- Perkara asas penubuhan universiti perlu diperbaiki supaya institusi dapat berfungsi baik; Zambry akan beri taklimat kepada JKPK.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, akta baharu itu masih dalam penelitian untuk dibentangkan di Parlimen tahun ini.
Menurut beliau, kerajaan perlu memastikan perkara penting dapat dilaksanakan terlebih dahulu sementara proses penggubalan akta berkenaan berjalan.
Ini memandangkan proses itu turut mengambil kira keseluruhan aspek berkaitan AUKU dan bukan hanya perkara membabitkan pelajar.
“Kita cuba sedaya upaya untuk memastikan aspek-aspek penting itu dapat kita mulakan. Apa pun, proses itu sedang berjalan.
“Saya sering sebutkan bahawa AUKU itu, jangan hanya lihat dari aspek berkaitan pelajar. Perdana Menteri telah meminta supaya perkara yang berkaitan dengan pelajar itu dimasukkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Kemuncak Gen Z Biz Challenge 2026 di Dewan Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia, di sini.
Menurut Datuk Seri Dr Zambry, beberapa perkara berkaitan pelajar telah diusahakan kerajaan menerusi langkah eksekutif dan prosedur sedia ada yang diumumkan bulan lalu.
Bagaimanapun, aspek lain juga perlu diberi perhatian termasuk perkara asas berkaitan penubuhan universiti bagi memastikan institusi berkenaan dapat berfungsi dengan baik.
“Maknanya kalau tidak ada AUKU ini, universiti tidak boleh berfungsi. Jadi ini penting. Perdana Menteri turut mengarahkan supaya langkah berkaitan diambil dengan memperbaiki aspek-aspek tertentu,” katanya.
Datuk Seri Dr Zambry dijadual menghadiri sesi taklimat dan pembentangan penggubalan akta baharu menggantikan AUKU kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia (JKPK) di Parlimen, hari ini.