
KOTA TINGGI, 15 September – Seorang operator kilang di Singapura yang dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dihadapinya iaitu menunggang motosikal secara berbahaya sehingga mendatangkan kecederaan dan mengakibatkan kecederaan parah ke atas seorang penjawat awam ketika menjalankan tugas, Ahad lepas.
- Didakwa atas dua pertuduhan: menunggang motosikal secara berbahaya menyebabkan patah tangan kanan anggota polis dan menyebabkan kecederaan parah kepada penjawat awam.
- Kejadian di Jalan Yusuf, Kota Tinggi antara 9.45 hingga 10.03 pagi pada hari Ahad.
- Mahkamah benarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin; kes disambung untuk serahan dokumen pada 5 Oktober.
Tertuduh, S. Hari Kumar, 25 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Norkhalida Farhana Abu Bakar.
Mengikut kertas pendakwaan, tertuduh didakwa menunggang secara melulu dan membahayakan hingga menyebabkan bencana iaitu patah tangan kanan Koperal Mohd Fauzi Che Zakaria.
Selain, dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada anggota polis sama, yang sedang menjalankan kewajipan sebagai penjawat awam.
Kesalahan dilakukan di Jalan Yusuf, Kota Tinggi, antara pukul 9.45 hingga 10.03 pagi, pada Ahad lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 333 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nuraini Shapee manakala, tertuduh diwakili peguam B. Mariammah.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta dua penjamin dan kes disebut semula pada 5 Oktober depan bagi serahan dokumen.