Sumbangan politik : BHEUU keluarkan surat rasmi

BHEUU dalam proses mengeluarkan surat rasmi berkaitan sumbangan politik

PUTRAJAYA, 15 September Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) diarah mengeluarkan surat rasmi berkaitan sumbangan politik.

RINGKASAN BERITA AI
  • BHEUU perlu diberi masa untuk menyelesaikan proses berkaitan.
  • Arahan mendapatkan maklum balas rasmi secara bertulis daripada 72 parti politik mengenai cadangan RUU Pendanaan Politik.
  • Langkah ini penting untuk mengetahui sokongan parti, sebab penolakan dan cadangan penambahbaikan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan, arahan berkaitan perkara berkenaan telah dikeluarkan minggu lepas.

“Saya dah arahkan BHEUU untuk keluarkan surat. Jadi mereka akan tulis secara rasmi.

“Itu arahan saya minggu lepas. Timbalan Ketua Pengarah tidak ada di sini sekarang, tetapi saya dimaklumkan pihak pejabat sedang dalam proses mengeluarkan surat berkenaan,”katanya selepas merasmikan Program Kayuhan Fashionista Bulan Kebangsaan “Dua Jiwa, Satu Sambutan” yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman, Mohd Radhi Abas.

BHEUU, katanya perlu diberi tempoh bagi menyelesaikan proses berkenaan.

Sebelum ini, Datuk Seri Azalina berkata BHEUU diarah mendapatkan maklum balas rasmi secara bertulis daripada 72 parti politik di negara ini, berkaitan cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Langkah berkenaan penting bertujuan membolehkan kerajaan mengetahui parti yang menyokong atau tidak termasuk sebab serta cadangan penambahbaikan RUU tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.