FINAS pulihkan 150 jam koleksi audiovisual warisan negara

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 September – Usaha memelihara bahan audiovisual lama diperkasa bagi memastikan rakaman sejarah negara tidak terus terjejas akibat kerosakan fizikal serta perubahan teknologi.

RINGKASAN BERITA AI
  • FINAS selesai alih digital dan restorasi 150 judul dokumentari dan dokudrama terbitan 1947 hingga 1973.
  • Projek 90 minggu termasuk saringan fizikal, pemulihan fizikal dan imbasan pada resolusi 4K.
  • Pemulihan digital meliputi pembetulan imej, audio dan warna sambil mengekalkan bahan asal sebagai rujukan.
  • Usaha ini memastikan koleksi audiovisual menjadi rujukan pendidikan, penyelidikan dan memelihara warisan untuk generasi akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, koleksi filem lama berdepan pelbagai risiko kerosakan, termasuk akibat faktor usia, selain kesukaran mendapatkan peralatan untuk memainkan format terdahulu.

“Menerusi sokongan kerajaan, FINAS telah menyelesaikan proses alih digital dan restorasi terhadap 150 judul koleksi dokumentari dan dokudrama penerbitan tahun 1947 hingga 1973.

“Projek yang dilaksanakan selama 90 minggu ini bermula dengan saringan dan pemeriksaan fizikal bagi mengenal pasti tahap serta jenis kerosakan pada setiap bahan, kemudian menerusi pemulihan fizikal yang bersesuaian sebelum diimbas pada resolusi 4K,” jelasnya.

Menurutnya, proses berkenaan turut melibatkan pemulihan digital terhadap imej, audio dan warna, selain mengekalkan bahan asal sebagai rujukan sejarah.

“Pemulihan koleksi berkenaan penting bagi memastikan bahan audiovisual negara terus menjadi sumber rujukan, pendidikan dan penyelidikan, selain membantu memelihara warisan sejarah untuk generasi akan datang,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Tayangan Khas dan Apresiasi Filem Restorasi Koleks Audiovisual Khazanah Warisan Negara di Menara Finas di sini.

Antara karya yang dipertontonkan ialah Tunku Visit Sabah, Timeless Temiar dan Tongkat Hitam.

Sesi tayangan khas itu turut disusuli forum bersama tokoh animasi Hassan Abd. Muthalib dan pakar pemulihan bahan audiovisual FINAS Nyoh Austine Sidai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.