
MEDAN, 14 September – Kemajuan sesebuah universiti tidak hanya diukur melalui angka pelajar, program atau pencapaian institusi tetapi menerusi kualiti graduan serta manfaat yang disumbangkan kepada masyarakat.
- Perkukuh penyelidikan relevan, kembangkan jaringan antarabangsa dan kerjasama strategik dengan universiti Muhammadiyah serta institusi tinggi Asia Tenggara.
- Jadikan UMAM wadah pertemuan sarjana, penyelidik dan mahasiswa antarabangsa untuk menghasilkan idea, inovasi serta penyelesaian cabaran masyarakat.
- Terus menjadi jambatan persahabatan yang memperkukuh hubungan akademik dan kebudayaan Malaysia serta Indonesia.
- Perkukuh peranan UMAM dalam agenda pendidikan tinggi ASEAN demi impak serantau dan pembangunan insan.
Justeru, Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) diharap terus berkembang pesat seiring dengan peningkatan kualiti akademik, integriti penyelidikan, kebajikan mahasiswa serta pembangunan sahsiah.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor UMAM bertitah, UMAM perlu melangkah lebih jauh dengan memperkukuh bidang penyelidikan yang relevan dengan keperluan semasa, memperluas jaringan antarabangsa serta membina kerjasama strategik dengan universiti-universiti Muhammadiyah dan institusi pendidikan tinggi di negara Asia Tenggara yang lain.
UMAM juga perlu menjadi wadah yang mempertemukan sarjana, penyelidik dan mahasiswa pelbagai negara, bukan sekadar untuk bertukar ilmu dan pandangan, tetapi untuk menghasilkan idea, inovasi dan penyelesaian kepada cabaran sebenar masyarakat.
Dalam konteks hubungan Malaysia dan Indonesia, UMAM perlu terus memainkan peranan sebagai jambatan persahabatan yang memperkukuh hubungan kedua-dua negara.
“Pendidikan mempunyai kekuatan tersendiri yang bukan sahaja menghubungkan institusi, malah membina jaringan insan, pemikiran dan pengalaman yang mampu berkembang merentas
generasi.
“Pada masa sama, UMAM mempunyai ruang untuk memperkukuhkan peranan dalam agenda pendidikan tinggi ASEAN,”titah baginda sempena Istiadat Pemasyhuran Sebagai Canselor UMAM di Auditorium Gedung Rektor, Kampus Utama Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU).
Pemasyhuran baginda sebagai Canselor UMAM untuk tempoh lima tahun, berkuat kuasa mulai 14 September 2026 hingga 13 September 2031.
Mengiringi baginda, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan turut hadir Menteri Pendidikan Dasar dan Menengah Republik Indonesia, Profesor Dr. Abdul Mu’ti dan Naib Canselor Universiti Muhammadiyah Malaysia, Dr. H. Saidul Amin serta pengurusan tertinggi UMSU dan UMAM.