
MEDAN, 14 September– Usaha Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) memperluas kerjasama antarabangsa dengan institusi pendidikan tinggi di rantau Asia Tenggara dilihat sebagai ruang kepada perkongsian kepakaran, pengetahuan dan sumber penyelidikan.
- Langkah berkenaan mampu mengukuhkan kedudukan universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang responsif terhadap perkembangan semasa.
- UMAM perlu terus memainkan peranan sebagai jambatan persahabatan untuk memperkukuh hubungan Malaysia dan Indonesia dalam bidang pendidikan.
- Istiadat pemasyhuran Canselor diserikan kehadiran pemimpin pendidikan serta pengurusan tinggi universiti dari kedua negara.
Raja Muda Perlis yang juga Canselor UMAM, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, langkah berkenaan mampu mengukuhkan kedudukan universiti itu sebagai institusi pendidikan tinggi yang responsif terhadap perkembangan semasa.
”Dalam konteks hubungan Malaysia dan Indonesia, UMAM perlu terus memainkan peranan sebagai jambatan persahabatan yang dapat memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.
“Hubungan melalui pendidikan mempunyai kekuatan tersendiri kerana bukan sahaja menghubungkan institusi, malah membina jaringan insan, pemikiran dan pengalaman yang mampu berkembang merentas generasi,” titah baginda.
Raja Muda Perlis bertitah demikian sempena Istiadat Pemasyhuran Sebagai Canselor Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) di Auditorium Gedung Rektor, Kampus Utama Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) di sini.
Mengiringi baginda, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Dasar dan Menengah Indonesia, Profesor Dr. Abdul Mu’ti dan Naib Canselor Universiti Muhammadiyah Malaysia, Dr. H. Saidul Amin serta pengurusan tertinggi UMSU dan UMAM.