
KUALA LUMPUR, 14 September- Johor Motorsports Racing (JMR) meneruskan kejayaan menaiki podium pada perlumbaan ketahanan Suzuka 1000 GT3 selepas pasukan Pro-Am mempamerkan prestasi mengagumkan untuk muncul naib juara di Litar Suzuka, Jepun pada Ahad.
- Pemandu JMR Tunku Abdul Rahman, Tunku Abu Bakar dan Ben Green mempamerkan pemanduan hebat sepanjang perlumbaan enam setengah jam.
- JMR memperbaiki pencapaian berbanding tahun lalu selepas menamatkan musim lebih baik daripada tempat ketiga sebelumnya.
- Pasukan Pro dengan McLaughlin, Catsburg dan Sims berusaha keras tetapi hanya menamatkan saingan di tempat keempat, sebagai pengalaman pembelajaran.
Dalam kenyataan hari ini, pemilik dan pemandu JMR Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim serta pemandu Pro Ben Green kesemuanya mempamerkan pemanduan yang hebat sepanjang perlumbaan selama enam setengah jam itu dalam usaha membawa pasukan menaiki podium Pro-Am.
Keputusan itu menyaksikan JMR memperbaiki pencapaian mereka berbanding tahun lepas apabila menduduki tempat ketiga.
Sementara itu, pasukan Pro JMR yang dibarisi Scott McLaughlin, Nicky Catsburg dan Alexander Sims bekerja keras sepanjang perlumbaan untuk mengulangi pencapaian menaiki podium pada tahun lepas, namun hanya mampu menamatkan saingan di tempat keempat.
Tunku Abdul Rahman berkata kejayaan menjadi pasukan kedua terbaik dalam kelas Pro-Am adalah pencapaian yang hebat dan beliau amat berbangga dengan keseluruhan pasukan.
“Pasukan Pro kami juga hampir berjaya, namun menamatkan perlumbaan di luar podium. Itu bukan keputusan yang kami mahukan tetapi kami berada di sini untuk belajar dan saya yakin kami akan kembali dengan lebih kuat pada masa hadapan.
“Bagaimanapun, saya amat berbangga dengan semua yang terlibat kerana berjaya merealisasikan segala-galanya pada 2026. Ia adalah tahun yang hebat buat kami. membuktikan bahawa kami mampu memberikan segala-galanya, tanpa mengira keadaan,” katanya dalam kenyataan sama. -BERNAMA