
KUALA LUMPUR, 13 September- Seramai 2,500 warga asing diperiksa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Mega di sekitar Lebuh Pudu di sini hari ini dengan 472 daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
- Tahanan berumur 18 hingga 62 tahun; 439 lelaki dan 33 wanita.
- Tahanan majoriti warga Bangladesh dan Myanmar; turut melibatkan Indonesia, India, Nepal, China, Pakistan, Filipina, Zimbabwe dan Arab Saudi.
- Kesalahan termasuk tiada dokumen sah, tinggal lebih masa dan pelbagai kesalahan Akta Imigresen; dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil.
Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Hamsha Injau berkata kesemua yang ditahan berusia antara 18 hingga 62 tahun, terdiri daripada 439 lelaki dan 33 wanita.
Tahanan terbabit terdiri daripada 364 warga Bangladesh, Myanmar (57), Indonesia (7), India (6), Nepal (8), China (3), Pakistan (7), Filipina (9), Zimbabwe (1) dan Arab Saudi (1).
“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal lebih masa serta pelbagai kesalahan lain di bawah Akta Imigresen.
“Kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya.
Beliau berkata operasi yang bermula kira-kira 11.00 pagi itu dijalankan susulan beberapa aduan mengenai kehadiran warga asing serta aktiviti perniagaan yang disyaki tidak sah di kawasan berkenaan.
Operasi itu melibatkan 337 pegawai dan anggota, termasuk 218 pegawai Imigresen serta 119 anggota daripada DBKL, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).