SPR kaji persempadanan semula jika kerusi Sabah, Sarawak ditambah

Datuk Seri Ramlan Harun/ Facebook: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia – SPR

KUALA LUMPUR, 13 September- Cadangan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak akan turut melibatkan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

RINGKASAN BERITA AI
  • SPR mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri selepas mempengerusikan Mesyuarat MTPMA63 pada 11 September.
  • Penambahan kerusi akan mempertimbangkan Bahagian Pilihan Raya Tanah Melayu.
  • Nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak akan dinaikkan daripada kedudukan semasa.
  • SPR akan memberi penjelasan lanjut selepas keputusan rasmi dan perkembangan membolehkan pengumuman.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata kajian semula itu bagaimanapun tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“SPR mengambil maklum kenyataan  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak seperti mana dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 September lepas,” katanya dalam kenyatana hari ini.

Beliau berkata penambahan kerusi Parlimen tersebut kelak turut mengambil kira Bahagian Pilihan Raya Tanah Melayu dengan prinsip bahawa nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak turut ditingkatkan daripada kedudukan semasa.

“Dalam konteks persempadanan bahagian pilihan raya, SPR akan melaksanakan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Datuk Seri Ramlan berkata SPR akan memberikan penjelasan lanjut apabila terdapat sebarang keputusan rasmi.

“SPR akan memberikan penjelasan lanjut apabila terdapat keputusan rasmi serta perkembangan yang membolehkan perkara tersebut dimaklumkan kepada umum,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkata kerajaan bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak melebihi kadar semasa, selaras dengan semangat Perjanjian MA63.

Datuk Seri Anwar berkata keputusan itu turut melibatkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan peningkatan penyertaan Ahli Parlimen dari kedua-dua negeri berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.