
KUALA LUMPUR, 13 September – Kejadian banjir kilat dan tanah runtuh yang berlaku di beberapa lokasi di Cameron Highlands, Pahang, tidak boleh dikaitkan dengan aktiviti pembinaan fizikal Projek Jalan Pintasan Cameron Highlands.
- KKR menafikan kejadian banjir kilat dan tanah runtuh ada kaitan dengan kerja pembinaan fizikal projek.
- Projek masih dalam peringkat reka bentuk dan penilaian; sehingga kini tiada kerja pembinaan fizikal dilaksanakan di tapak.
- Banjir dilapor berlaku di jalan sekunder Taman MARDI dan Padang Awam, bukan sebahagian jajaran jalan utama projek.
- Pelaksanaan tertakluk kepada EIA, SIA, penilaian geoteknikal dan kelulusan pihak berkuasa; pembinaan hanya selepas semua syarat dipenuhi.
Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR), projek berkenaan masih berada pada peringkat reka bentuk dan kajian penilaian dan sehingga kini, tiada kerja pembinaan fizikal dilaksanakan di tapak.
“Ketika ini aktiviti yang dijalankan hanya melibatkan kerja penyelenggaraan rutin di jalan sedia ada.
“Oleh itu, dakwaan yang mengaitkan kejadian banjir kilat dengan aktiviti pembinaan fizikal projek berkenaan adalah tidak tepat, ” tegas KKR menerus satu kenyataan.
Semakan awal mendapati, kejadian banjir yang dilaporkan pada 12 September di kawasan Taman MARDI dan Padang Awam, Tanah Rata, berlaku di jalan sekunder.
“Laluan itu bukan sebahagian daripada jajaran jalan utama projek berkenaan,” menurut kenyataan itu lagi.
Projek Jalan Pintasan Cameron Highlands merangkumi pembinaan Jalan Pintasan Tanah Rata, naik taraf Jalan Persekutuan FT59 dari Tanah Rata ke Kea Farm serta naik taraf Jalan Persekutuan FT434, atau Jalan Griddle.
Bagaimanapun, satu kejadian tanah runtuh berskala kecil dilaporkan berlaku di Jalan Tengkolok, kawasan di bawah skop penyelenggaraan rutin kontraktor projek.
“Kerja pembersihan sisa runtuhan telah dilaksanakan dengan segera dan selesai bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pengguna jalan raya, ” menurut KKR.
Dalam pada itu, KKR memberi jaminan aspek keselamatan cerun, keadaan geologi, sistem saliran dan risiko bencana diberi perhatian serius dalam pelaksanaan projek berkenaan.
Pelaksanaan projek juga tertakluk kepada semua penilaian, kelulusan dan syarat teknikal yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan, termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA), keperluan geoteknikal serta kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan.
KKR menegaskan kerja pembinaan fizikal hanya akan dimulakan selepas semua kelulusan dan syarat berkaitan dipenuhi.