Empat bakat cilik Semenanjung layak ke Kemuncak Bintang Kecil RTM 2026

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 September – Empat bakat cilik terbaik Zon Semenanjung bakal menggalas cabaran ke peringkat akhir Kemuncak Bintang Kecil RTM 2026 yang dijadualkan berlangsung di Kuching, Sarawak pada 20 September nanti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Finalis Zon Semenanjung: Rezaryl (Kedah); Aryan (Negeri Sembilan); Sofea (Kuala Lumpur); Melissa (Pulau Pinang).
  • 'Drama dan Emosi' jadi tema; persembahan VT pra-rakam dan kekuatan vokal menjadi kriteria utama penilaian juri profesional.
  • Finalis dimuktamadkan selepas saingan Debaran Bintang Kecil Zon Semenanjung di Auditorium Tuanku Puan Chik, Seremban.
  • RTM komited membimbing bakat cilik; peluang rakam single, undangan rancangan televisyen, penyertaan program radio negeri dan program pusat RTM.

Finalis yang menempah tiket ke peringkat seterusnya untuk bersaing dengan Zon Sabah dan Zon Sarawak ialah Muhammad Rezaryl Indra Ridzuan, 12 tahun, mewakili Kedah; Muhammad Aryan Zuhair Mohamad Ridzuan Akram (Negeri Sembilan); Nur Sofea Adelia A. Razif (Kuala Lumpur); serta Melissa Rose Afzan Saffuan (Pulau Pinang).

​Penerbit Bintang Kecil Kedah, Basiroh Baharom berkata, persaingan kali ini menuntut persediaan lebih mencabar daripada para peserta merangkumi aspek persembahan visual pra-rakaman (VT playback) serta kawalan vokal mantap di bawah penilaian barisan juri profesional industri.

​”Tahun ini format pertandingan di peringkat zon amat mencabar dengan mengetengahkan tema ‘Drama dan Emosi’.

“Selain persembahan secara langsung, kekuatan vokal menjadi kriteria paling kritikal yang dinilai oleh panel juri profesional,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Empat finalis tersebut dimuktamadkan susulan berakhirnya saingan sengit peringkat Debaran Bintang Kecil Zon Semenanjung 2026 yang diadakan di Auditorium Tuanku Puan Chik, Seremban, Negeri Sembilan semalam.

​Mengulas mengenai hala tuju para peserta selepas kemuncak pertandingan, beliau menegaskan komitmen berterusan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam menggilap bakat anak muda berkenaan.

“Selepas debaran Bintang Kecil dan Kemuncak Bintang Kecil nanti, adik-adik kita ini insya-Allah akan terus dibimbing menerusi pelbagai program yang telah pun disusun atur oleh pihak RTM serta stesen RTM negeri.

​”Ada dalam kalangan mereka yang berpeluang menghasilkan ‘single’ lagu sendiri, selain menerima jemputan menjayakan rancangan televisyen, program radio negeri, mahupun ke peringkat ibu pejabat bagi program anjuran RTM,” katanya kepada pemberita selepas membawa bakat cilik menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.

Di Kuching, Sarawak nanti, keempat-empat wakil Zon Semenanjung itu akan bersaing bersama juara cilik dari Zon Sarawak dan Sabah bagi merebut gelaran juara kebangsaan Bintang Kecil RTM 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.