
PEKAN, 12 September – Kerajaan akan menjalankan siasatan berhubung penahanan 30 rakyat Malaysia yang disyaki terbabit dalam aktiviti penipuan dalam talian di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia.
- Siapa bertanggungjawab: siasatan penting untuk tentukan sama ada mereka bertindak bersendirian atau berkaitan sindiket jenayah terancang.
- Kerjasama dengan Indonesia: pihak berkuasa biasanya berhubung bagi perkongsian maklumat, akses siasatan dan tindakan susulan.
- Kerajaan akan gunakan tempoh ada untuk menunaikan amanah, mengekalkan kestabilan, urus ekonomi cermat serta mengutamakan kebajikan rakyat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, siasatan itu penting bagi mengenal pasti sama ada mereka bertindak secara bersendirian atau mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah terancang.
Menurut beliau, pihak berkuasa Indonesia lazimnya akan menghubungi Malaysia bagi membolehkan siasatan serta kerjasama antara kedua-dua negara dilaksanakan, termasuk perkongsian maklumat dan tindakan susulan.
“Prosesnya sama. Sama ada pihak berkuasa Indonesia memaklumkan kepada kita atau kita meminta untuk diberikan akses bagi menjalankan siasatan.
“Tujuannya untuk mengenal pasti sama ada 30 orang ini bertindak secara bersendirian atau mempunyai kaitan dengan satu sindiket yang lebih tersusun. Hasil maklumat itu nanti akan membolehkan kita menyusun rancangan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI, Jabatan Imigresen Malaysia Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan Nenasi, Pekan.
Selasa lalu, pihak berkuasa Indonesia menahan 30 rakyat Malaysia dan seorang lelaki warga Taiwan yang disyaki terbabit dalam aktiviti penipuan dalam talian di sebuah hotel di Pontianak, Kalimantan Barat.
Rakyat Malaysia yang ditahan terdiri daripada 22 lelaki dan lapan wanita, manakala warga Taiwan berkenaan turut dibawa ke Pusat Tahanan Imigresen Pontianak untuk menjalani soal siasat.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai cadangan supaya pilihan raya umum disegerakan, Datuk Seri Saifuddin menegaskan kerajaan akan memanfaatkan sepenuhnya tempoh yang ada untuk menunaikan amanah, memelihara kestabilan negara dan mengutamakan kebajikan rakyat.
“Banyak lagi yang boleh kita manfaatkan daripada kedudukan kerajaan sekarang, termasuk menjaga kestabilan dengan baik, mengurus ekonomi dengan cermat serta menumpukan perhatian kepada kebajikan rakyat.
“Setahun lebih ini merupakan tempoh yang cukup lumayan untuk kita menumpukan kepada menunaikan amanah kepimpinan dan menjaga kebajikan rakyat. Pada saya, itu lebih afdal,” katanya.