
KOTA TINGGI, 12 September – Dua lelaki berusia 33 dan 44 tahun ditahan polis selepas dikejar sejauh 50 kilometer oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) di Kota Tinggi, awal pagi tadi.
- Kenderaan dipandu secara berbahaya dan memecut ketika diarahkan berhenti, menyebabkan polis mengejar dan menahan suspek.
- Pemeriksaan menemui dadah disyaki methamphetamine dalam kenderaan dan pada kedua-dua suspek.
- Kedua-dua suspek mempunyai rekod narkotik, positif ujian saringan air kencing, direman sehingga 15 September untuk siasatan.
Adegan itu bermula di Jalan Tun Sri Lanang, Bandar Kota Tinggi sebelum polis berjaya menahan mereka di Kilometer 31.5, Jalan Johor Bahru-Mersing.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kedua-dua suspek ditahan selepas kenderaan dinaiki mereka dipandu secara berbahaya dan memecut ketika diarahkan berhenti.
Menurut beliau, pemeriksaan terhadap suspek dan kenderaan berkenaan menemukan dadah disyaki jenis methamphetamine.
Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan narkotik dan dikehendaki polis, selain positif methamphetamine hasil ujian saringan air kencing.
Dua individu berkenaan direman sehingga 15 September ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Kanun Keseksaan.