
BATU BERENDAM, 12 September – Persaingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak seharusnya menyebabkan kepentingan rakyat terpinggir, kata Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka Adam Adli Abd Halim.
- Setiap parti berhak menentukan hala tuju kerjasama dan membuat keputusan bertanding di kerusi masing-masing.
- Pemimpin mesti menunjukkan tahap moral tinggi ketika bersaing supaya kepentingan rakyat tidak diabaikan.
- Pakatan Harapan sedia terima keputusan dan kekal fokus membantu serta memudahkan urusan rakyat.
Beliau berkata setiap parti politik mempunyai hak untuk menentukan hala tuju kerjasama masing-masing, termasuk membuat keputusan bertanding di semua kerusi yang ditandingi.
Adam Adli berkata meskipun kata sepakat berhubung PRN Melaka masih belum dicapai, setiap pemimpin perlu menunjukkan tahap moral yang tinggi dalam menghadapi persaingan politik.
“Runding atau tidak runding, tidak jadi masalah. Kalau kita bersaing di semua kerusi yang ditandingi pun tidak menjadi isu sebab sebelum ini pun memang macam itu juga.
“Jadi, hak masing-masing kita hormat. Yang mustahak sebenarnya dalam pertandingan tersebut jangan sampai rakyat tidak dapat apa-apa”, ujarnya.
Beliau berkata Pakatan Harapan (PH) sentiasa bersedia menghadapi sebarang keputusan yang bakal dicapai berhubung kerjasama pada PRN Melaka.
Katanya, fokus PH kekal untuk membantu dan memudahkan urusan rakyat dalam segenap aspek.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program penutup Kampung Angkat MADANI @ Kampung Sungai Putat di sini.