Carrick tolak sindiran City ‘raja Manchester’

Foto REUTERS

LONDON, 11 September – Pengurus Manchester United, Michael Carrick menolak kenyataan Elliot Anderson yang menyifatkan Manchester City sebagai “raja Manchester” menjelang pertembungan derby di Old Trafford pada Ahad.

Carrick tidak bersetuju dengan dakwaan Anderson mengenai kedudukan ‘kuasa semasa’ di Manchester dengan menegaskan beliau tidak akan sesekali menggunakan frasa itu.

“Kami cukup merendah diri dan realistik untuk mengetahui kedudukan kami berdasarkan sejarah kebelakangan ini. Kami perlu menjadi lebih baik dan mahu lebih kerap mencabar kejuaraan.

“Itulah kedudukan kami sekarang. Kami masih percaya dan yakin kami mampu melakukannya, malah sepatutnya begitu, tetapi saya memahami gambaran yang lebih besar,” kata Carrick

Selepas menyertai kelab itu, Anderson dilaporkan berkata, selama dia mengenali Manchester, City adalah ‘raja Manchester’.

Anderson menyertai City dari Nottingham Forest dengan yuran perpindahan £116 juta (AS$156 juta) pada musim panas, selepas United enggan bersaing untuk mendapatkan pemain tengah England berusia 23 tahun itu.

United kini ketinggalan lima mata daripada jiran mereka itu apabila hanya meraih satu kemenangan dalam tiga perlawanan liga.

City menguasai persaingan di Manchester sejak Alex Ferguson bersara selepas membawa United menjuarai Liga Perdana Inggeris pada 2013 dan sejak itu, City menamatkan musim di atas United pada setiap musim.

Dalam tempoh berkenaan, City memenangi tujuh kejuaraan Liga Perdana, Liga Juara Eropah serta pelbagai trofi lain.

Menurut Pengurus City, Enzo Maresca, pencapaian kelab itu dalam tempoh 15 tahun lalu menjadi asas kepada kenyataan Anderson.

“Saya rasa Manchester City luar biasa dengan apa yang telah mereka capai. Jadi, saya fikir adalah perkara biasa untuk Elliot berkata demikian,” katanya.

United mengharungi permulaan musim yang kurang meyakinkan dalam Liga Perdana, namun bangkit dengan kemenangan besar 4-0 ke atas kelab Azerbaijan, Sabah dalam aksi pembukaan Liga Juara Eropah pada Khamis.

Sebaliknya, City memenangi kesemua empat perlawanan pertama mereka dalam semua pertandingan bawah kendalian Maresca.

Bagaimanapun, Carrick percaya United semakin menunjukkan perkembangan selepas menamatkan saingan Liga Perdana musim lalu di tempat ketiga, satu kedudukan di belakang City.

Beliau berkata, penyertaan United dalam Liga Juara Eropah menunjukkan kemajuan yang dicapai kelab itu serta meningkatkan jangkaan terhadap pasukan.

“Itu sendiri menunjukkan kemajuan yang kami capai. Kami perlu mara lebih jauh dalam saingan itu dan jangkaan terhadap kami juga berubah,” katanya. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.