Binastra tembusi sektor infrastruktur industri menerusi kontrak RM303.8 juta

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 5 November – Binastra Corporation Berhad memperoleh kontrak bernilai RM303.8 juta menerusi anak syarikat milik penuhnya, Binastra Builders Sdn Bhd, bagi membangunkan sebuah gudang industri di Bandar Bukit Raja, Kapar, Selangor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek langkah strategik kumpulan untuk mengembangkan keupayaan pembinaan ke sektor infrastruktur industri, termasuk gudang automatik pertama untuk PTT.
  • Kerja pembangunan dijadual bermula 11 November 2026 dan dijangka siap pada 30 September 2027.
  • Skop projek merangkumi kerja cerucuk, pembinaan struktur utama serta kerja luaran.
  • Kemudahan termasuk gudang satu tingkat dengan sistem ASRS, ruang mezanin dan bangunan pejabat tiga tingkat; kontrak dijangka tingkatkan pendapatan kumpulan.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan kontrak daripada PTT Synexis Sdn Bhd berkenaan ditawarkan pada harga tetap RM303.8 juta, tidak termasuk cukai perkhidmatan di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018.

Pengarah Urusan Binastra Corporation Berhad, Datuk Ir. Jackson Tan Kak Seng berkata, projek itu merupakan langkah strategik kumpulan untuk memperluas keupayaan pembinaan ke sektor infrastruktur industri, selain perniagaan teras sedia ada

“Kontrak ini merupakan pencapaian penting bagi syarikat ketika kami mengembangkan keupayaan pembinaan ke dalam sektor infrastruktur industri menerusi projek gudang automatik pertama untuk PTT.

“Selain menambah rekod prestasi pembinaan kami, projek ini juga merupakan langkah strategik untuk memperluas keupayaan ke dalam infrastruktur industri khusus,” katanya.

Kerja-kerja pembangunan dijadual bermula pada 11 November 2026 dan dijangka siap pada 30 September 2027.

Skop projek merangkumi kerja-kerja cerucuk, pembinaan struktur utama serta kerja-kerja luaran.

Kemudahan yang bakal dibangunkan termasuk gudang satu tingkat dilengkapi sistem penyimpanan dan pengambilan automatik (ASRS), ruang mezanin serta bangunan pejabat tiga tingkat.

Binastra menjangkakan kontrak itu akan menyumbang kepada peningkatan sumber pendapatan kumpulan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.