
KUALA LUMPUR, 5 November – Seramai 100 peserta daripada golongan berpendapatan rendah (B40) bakal mendapat manfaat menerusi program Zero to Hero 3.0 yang memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan industri.
- Menawarkan latihan TVET kimpalan dan fabrikasi logam, pendidikan kewangan serta bantuan penempatan pekerjaan.
- Pelaksanaan terdahulu mencapai kadar penempatan 100 peratus; fasa ketiga dijangka tingkatkan pendapatan peserta.
- Program bawah inisiatif iTEKAD menyokong pengukuhan bekalan tenaga kerja mahir dan meningkatkan akses latihan serta peluang pekerjaan.
Program kerjasama SME Bank, GIATMARA dan Zurich General Takaful Malaysia itu menawarkan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang kimpalan dan fabrikasi logam, selain pendidikan kewangan serta bantuan penempatan pekerjaan.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, program itu bertujuan meningkatkan kebolehpasaran peserta menerusi kemahiran teknikal yang memenuhi permintaan industri, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan menjana pendapatan lebih mampan.
“Kejayaan dua pelaksanaan terdahulu pada 2022 dan 2024 menyaksikan kesemua 90 peserta berjaya mendapat pekerjaan, dengan kadar penempatan 100 peratus.
“Menerusi fasa ketiga, peserta dijangka memperoleh pendapatan bulanan antara RM1,800 hingga RM6,000, bergantung kepada pekerjaan yang diceburi”, katanya dalam satu kenyataan.
Program di bawah inisiatif iTEKAD Kerjaya Bank Negara Malaysia bagi tempoh 2026 hingga 2027 itu turut menyokong usaha memperkukuh bekalan tenaga kerja mahir dan merapatkan jurang antara keperluan industri dengan penawaran tenaga kerja.
Secara keseluruhan, inisiatif iTEKAD telah memanfaatkan lebih 14,000 usahawan mikro berpendapatan rendah sejak diperkenalkan pada 2020, selain menyumbang kepada pewujudan lebih 2,400 peluang pekerjaan.
Kerjasama itu dijangka memperluas akses kepada latihan kemahiran dan peluang pekerjaan, sekali gus meningkatkan mobiliti sosioekonomi serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif.