Usaha perkukuh ekonomi wanita perlu dipertingkat

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad/ Foto FB Dato’ Dr Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR, 10 September – Usaha memperkukuh ekenomi wanita perlu diberi tumpuan bagi membantu golongan itu meningkatkan pendapatan, mengembangkan perniagaan serta memiliki aset demi menjamin masa depan keluarga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kos penjagaan anak memaksa wanita berhenti kerja dan peluang untuk kembali semakin terhad.
  • Perlu perluasan kemudahan jagaan anak, peluang pekerjaan anjal dan program latihan semula untuk memudahkan penyertaan semula ke pasaran kerja.
  • Kejayaan program dinilai melalui peningkatan pendapatan dan perkembangan perniagaan, bukan hanya bilangan peserta atau penerima pinjaman.
  • Pelaksanaan PuTERA35 mesti buka lebih banyak peluang modal, akses pasaran baru dan pemilikan aset bagi wanita.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pendekatan itu penting memandangkan sebahagian wanita terpaksa meninggalkan pekerjaan berikutan kos penjagaan anak, manakala mereka yang mahu kembali bekerja berdepan peluang yang semakin terhad.

Sehubungan itu, kemudahan penjagaan anak, peluang pekerjaan anjal dan latihan semula perlu diperluas bagi membantu wanita kembali menyertai pasaran pekerjaan tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.

“Ekonomi mungkin dibincangkan melalui angka. Tetapi bagi seorang wanita, ekonomi dirasai di meja makan, di kaunter pembayaran dan di dalam dompet keluarga.

“Sebab itu, kita tidak mahu wanita sekadar dibantu untuk bertahan. Kita mahu mereka mampu menjana pendapatan dan menentukan masa depan keluarga,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2026, di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr Noraini berkata, kejayaan program pembangunan wanita juga perlu dinilai berdasarkan peningkatan pendapatan dan perkembangan perniagaan, bukan sekadar jumlah peserta kursus atau penerima pinjaman.

Menurut beliau, pelaksanaan PuTERA35 perlu membuka lebih banyak peluang kepada wanita untuk mendapatkan modal, menembusi pasaran baharu dan memiliki aset.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.