
GEORGE TOWN, 10 September – Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) dijangka dibentangkan selewat-lewatnya suku pertama tahun depan.
- Draf RUU disiapkan selepas sesi libat urus dan bengkel anjuran kementerian.
- Tadbir urus AI merangkumi piawaian, peraturan serta perundangan, bukan hanya RUU.
- Penubuhan MY-AI Standards di bawah Kementerian Digital sedang dilaksanakan, termasuk kerjasama dengan SIRIM Berhad.
- Pameran "Scars of War" memaparkan dokumentasi kemanusiaan dan seni kontemporari tentang kesan konflik; berlangsung dua bulan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata draf RUU itu telah disiapkan selepas sesi libat urus dan penganjuran bengkel anjuran kementeriannya.
“Tadbir urus AI tidak hanya tertumpu kepada RUU semata-mata. Prosesnya turut merangkumi piawaian, peraturan dan perundangan.
Justeru, aspek yang boleh ditangani menerusi piawaian sedang dilaksanakan melalui penubuhan MY-AI Standards di bawah Kementerian Digital termasuk bekerjasama dengan SIRIM Berhad,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pameran “Scars of War–An International Photography and Art Exhibition” di Galeri Seni Lin Xiang Xiong di sini.
Pameran yang menghimpunkan dokumentasi kemanusiaan dan seni kontemporari bagi meneroka kesan berterusan konflik bersenjata terhadap manusia berlangsung selama dua bulan bermula hari ini.