
SHAH ALAM, 10 September – Selangor menyasarkan peningkatan pendapatan bulanan isi rumah kepada RM14,500 menjelang 2030 menerusi pelaksanaan Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
- Rancangan Selangor Kedua menjadi landasan penyediaan Belanjawan Selangor 2027 dengan 98 inisiatif merangkumi enam misi pembangunan sosioekonomi.
- Belanjawan akan memberi tumpuan menangani perubahan iklim secara komprehensif dan memacu negeri lestari serta berdaya tahan.
- Memperkukuh daya saing sektor pembuatan melalui peralihan teknologi dan memperkasakan modal insan menerusi skim teknikal dan vokasional.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sasaran berkenaan antara fokus utama RS-2 yang menjadi landasan kepada penyediaan Belanjawan Selangor 2027.
Beliau berkata, sasaran itu bukan sesuatu yang mudah, namun yakin ia dapat dicapai menerusi perancangan pembangunan sosioekonomi yang tersusun.
Katanya, Rancangan Selangor Pertama berjaya meningkatkan pendapatan bulanan isi rumah kepada RM10,726, manakala RS-2 menyasarkan peningkatan sebanyak 27 peratus.
“Fokus utama adalah untuk meningkatkan pendapatan isi rumah kepada RM14,500 sebulan. Itu bukan sasaran yang mudah, tetapi saya percaya bahawa sekiranya direncanakan secara teratur, kita dapat menjayakan sasaran ini,” katanya pada Sesi Libat Urus Belanjawan Selangor 2027, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara perkara yang diberi perhatian dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2027 termasuk usaha menangani perubahan dan krisis iklim secara komprehensif.
Katanya, Selangor juga perlu memastikan sektor pembuatan kekal berdaya saing menerusi peralihan teknologi yang mantap, selain memperkukuh persediaan sumber tenaga manusia melalui skim teknikal dan vokasional.
“Daripada dapatan awam yang saya dapat lihat, ada beberapa perkara masih lagi menjurus kepada kepuasan hati perkhidmatan kita di peringkat kerajaan tempatan dan pihak kerajaan negeri dan juga berkenaan dengan generasi menua ataupun yang dipanggil sebagai care economy yang telah kita lancarkan,” katanya.
Tambah beliau, Selangor turut berhasrat membangunkan Indeks Kehidupan Bermaruah Selangor bagi mengurangkan kadar kemiskinan relatif dan membolehkan rakyat menikmati kehidupan yang lebih selesa.
Beliau turut menyentuh perubahan landskap geopolitik dunia yang kini bergerak daripada susunan unipolar kepada multipolar.
Menurutnya, konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat memberi kesan kepada ekonomi global, sekali gus membuka ruang kepada negara-negara kuasa sederhana dan membangun meneroka kerjasama serta pasaran baharu.
Antara negara yang boleh diterokai ialah China, Rusia, India, Brazil, Afrika Selatan dan negara-negara di benua Afrika.
Dalam konteks Persekutuan pula, beliau berkata kos menampung subsidi dijangka menjadi antara cabaran utama dalam penyediaan Belanjawan 2027, yang dijadual dibentangkan Perdana Menteri pada 9 Oktober ini.
Bagi Selangor, Belanjawan 2027 menjadi belanjawan pertama dalam tempoh pelaksanaan RS-2 yang merangka pembangunan sosioekonomi negeri untuk tempoh lima tahun sehingga 2030.
RS-2 mengandungi 98 inisiatif menerusi enam misi, termasuk memacu kepimpinan ekonomi, pembangunan seimbang antara daerah, negeri penyayang dan berdaya huni, modal insan produktif dan inklusif, negeri lestari, berdaya tahan dan strategik serta kerajaan yang efektif, mesra rakyat dan perniagaan.