Jerebu: Kawal keresahan, elak panik berlebihan – Pakar Psikologi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 September Orang ramai disaran mengawal keresahan dan emosi ketika berdepan keadaan jerebu bagi mengelak kebimbangan berlebihan yang boleh menjejaskan rutin harian serta kesejahteraan mental.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jerebu boleh mencetuskan resah, gelisah dan panik terutama individu yang mudah cemas atau pernah alami trauma berkaitan jerebu.
  • Ubah rutin harian dengan menyesuaikan aktiviti anak dan elak tekanan emosi akibat hadkan aktiviti luar.
  • Amalkan pemikiran rasional, kurangkan pergerakan luar jika sensitif dan pastikan pengambilan air mencukupi.

Pakar Psikologi Klinikal, Dr Noor Aishah Rosli berkata, keadaan jerebu yang mengehadkan aktiviti luar rumah boleh mencetuskan rasa resah, gelisah dan panik, khususnya dalam kalangan individu yang sememangnya mudah mengalami kebimbangan.

Menurut beliau, perubahan rutin harian akibat keperluan mengehadkan aktiviti di luar rumah juga boleh memberi tekanan kepada sesetengah individu.

“Ada individu yang mudah rasa gugup, resah dan gelisah kerana dengan cuaca yang buruk ini membataskan aktiviti di luar rumah termasuk mengalami gangguan tidur,” katanya.

Beliau berkata, golongan ibu bapa antara yang terkesan apabila rutin anak-anak untuk melakukan aktiviti luar, termasuk bermain pada waktu petang, terpaksa diubah demi menjaga kesihatan.

Katanya, keadaan itu menjadi lebih mencabar bagi individu yang pernah mengalami trauma ketika episod jerebu terdahulu, terutama mereka yang pernah mendapatkan rawatan di hospital akibat kesan jerebu.

“Ketakutan ini lebih berlipat kali ganda disebabkan mereka tertanya-tanya, mungkinkah jerebu kali ini mendatangkan kesan yang lebih parah berbanding jerebu yang lepas,” katanya.

Jelas beliau, individu yang mempunyai masalah kesihatan tertentu juga berkemungkinan mengalami tekanan emosi apabila rutin harian mereka terjejas akibat keperluan mengurangkan aktiviti luar.

“Salah satu cara untuk kita mengawal keadaan keresahan akibat jerebu ialah berfikir lebih rasional bahawa jerebu ini bukan kekal selamanya,” katanya lagi ketika ditemui RTM.

Pada masa sama, orang ramai perlu mengenal pasti tahap sensitiviti tubuh terhadap bau dan udara tidak sihat serta mengambil langkah sewajarnya dengan mengurangkan pergerakan di luar rumah dan memperbanyak aktiviti di dalam rumah.

Dr Noor Aishah turut menasihatkan masyarakat memastikan pengambilan air yang mencukupi sepanjang tempoh jerebu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.