Warga emas maut diserang gajah liar

Seorang emas maut diserang gajah liar ketika mencari lembu di kawasan Ladang Lepan Kabu, Pahi, Kuala Krai

KUALA KRAI, 10 September – Seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun maut dipercayai diserang gajah liar ketika mencari lembu di kawasan Ladang Lepan Kabu, Pahi, Kuala Krai, Kelantan petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kumpulan terpisah; dua menemui najis gajah lalu keluar untuk memaklumkan PDRM dan PERHILITAN.
  • Anak terdengar gajah mengamuk dan suara bapanya; kembali berbekalkan parang, menemui mangsa tidak sedarkan diri dipercayai dipijak.
  • Polis dan pegawai kesihatan mengesahkan mangsa meninggal; mayat dibawa ke unit forensik, PERHILITAN dimaklumkan, siasatan dijalankan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superitenden Mazlan Mamat berkata kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa bersama dua anak lelakinya dan dua rakan memasuki kawasan ladang berkenaan kira-kira pukul 3.00 petang untuk mencari lembu miliknya.

Beliau berkata kumpulan berkenaan bertolak dari rumah kira-kira pukul 2.15 petang sebelum berpecah dan berjalan kaki secara bersendirian sebaik tiba di kawasan ladang.

“Dua daripada mereka kemudian menemui kesan najis gajah sebelum terserempak dengan seekor gajah liar dan bertindak keluar dari kawasan berkenaan untuk memaklumkan kejadian kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN)”, katanya menerusi satu kenyataan.

Anak mangsa pula dilaporkan terdengar bunyi gajah mengamuk serta suara bapanya meminta pertolongan sebelum bergegas keluar mengambil parang dan kembali ke lokasi.

Setibanya di lokasi, mangsa ditemukan terbaring tidak sedarkan diri dan dipercayai dipijak gajah berkenaan.

Polis bersama pegawai kesihatan kemudian memasuki kawasan kejadian dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk proses bedah siasat.

PERHILITAN turut dimaklumkan mengenai kejadian itu untuk tindakan lanjut, manakala penduduk sekitar dinasihatkan supaya berhati-hati dan mengelak memasuki kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan hidupan liar.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.