
KUALA LUMPUR 10 September – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada dua hakim di Istana Negara di sini.
- Alice Loke Yee Ching dilantik Hakim Mahkamah Rayuan melalui pengurniaan surat cara.
- Elaine Yap Chin Gaik dilantik Hakim Mahkamah Tinggi melalui pengurniaan surat cara.
- Istiadat disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya.
- Loke bekas Peguam Kanan Persekutuan dan Pesuruhjaya Kehakiman; Yap berkelulusan dari University of Sydney dan Diploma Timbang Tara Antarabangsa.
Istiadat berlangsung pukul 9 pagi tadi dimulakan dengan pengurniaan surat cara pelantikan Hakim Mahkamah Rayuan kepada Alice Loke Yee Ching.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Elaine Yap Chin Gaik.
Istiadat berkenaan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Hakim Negara Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Hadir sama, Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Loke, 64, dilantik sebagai Peguam Kanan Persekutuan pada 2013 hingga 2018, sebelum dilantik Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 10 Julai 2020.
Beliau dinaikkan pangkat ke Mahkamah Tinggi pada 17 Januari 2023 sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Kuasa Kuasa Khas) pada 18 Ogos 2025.
Yap, 53, yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda dari University of Sydney dan Diploma dalam Timbang Tara Antarabangsa (Diploma in International Arbitration) dari Chartered Institute of Arbitrators itu, dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Ogos 2024 dan jawatan sama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Nov 2025.