
BARCELONA, 10 September – Pengendali Barcelona, Hansi Flick menyifatkan penyerang muda Lamine Yamal sebagai pemain istimewa yang layak memenangi anugerah Ballon d’Or.
- Barcelona mempamerkan aksi dominan menewaskan Feyenoord 5-1 dalam pembukaan Liga Juara-Juara di Camp Nou.
- Flick menyifatkan Yamal pemain luar biasa yang membuktikan kualitinya dalam setiap perlawanan.
- Flick berpendapat Pedri dan Raphinha terlalu bagus untuk tidak tersenarai dalam 30 calon Ballon d'Or.
- Van Bronckhorst menyamakan kemampuan Yamal dengan Ronaldinho dan Messi serta meramalkan dia akan memenangi Ballon d'Or.
Flick berkata demikian selepas Barcelona membelasah Feyenoord 5-1 dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Camp Nou, awal pagi tadi.
“Dia istimewa. Tiada pemain lain yang memiliki apa yang ada padanya dan saya fikir dia layak memenangi Ballon d’Or,” kata Flick.
Beliau turut menyifatkan Yamal sebagai pemain luar biasa yang membuktikan kualitinya dalam setiap perlawanan.
Flick bagaimanapun turut berpendapat dua lagi pemain Barcelona, Pedri dan Raphinha, sepatutnya tersenarai dalam 30 calon Ballon d’Or.
“Mereka terlalu bagus untuk tidak berada dalam senarai itu. Tetapi kami tidak boleh mengubah keputusan tersebut,” katanya.
Sementara itu, pengendali Feyenoord, Giovanni van Bronckhorst turut percaya Yamal mempunyai segala kualiti untuk memenangi anugerah berprestij itu.
Van Bronckhorst menyamakan kemampuan Yamal dengan legenda Barcelona, Ronaldinho dan Lionel Messi, selain menyifatkannya sebagai antara bintang utama pasukan.
“Dia akan memenangi Ballon d’Or. Persoalannya ialah bila. Dia memiliki segala-galanya untuk memenanginya,” katanya.
Dalam perlawanan berkenaan, Barcelona mempamerkan aksi dominan untuk menewaskan Feyenoord 5-1 dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini. — AFP