
KUALA LUMPUR, 7 September – Aktiviti letusan dan pergerakan abu Gunung Berapi Anak Krakatau menyebabkan penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (CGK), Jakarta, sekali gus menjejaskan beberapa penerbangan antarabangsa termasuk penerbangan dari dan ke Kuala Lumpur.
- Kedutaan Malaysia menasihatkan pelawat semak status penerbangan dengan syarikat masing-masing dan ikuti arahan pihak berkuasa tempatan.
- Untuk bantuan konsular, hubungi Kedutaan Malaysia di Jakarta: +62 21 522 4947 (waktu pejabat) atau +62 813 8081 3036 (selepas waktu pejabat).
- Ketua Pengarah Penerbangan Awam melaporkan pembatalan, penangguhan dan penjadualan semula penerbangan antarabangsa, melibatkan beberapa destinasi termasuk Kuala Lumpur.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam kenyataan hari ini memaklumkan keadaan itu turut menyebabkan beberapa penerbangan antarabangsa terjejas.
“Pelawat warganegara Malaysia yang mempunyai penerbangan dari atau melalui CGK dinasihatkan untuk menyemak status penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklumat berhubung penjadualan semula penerbangan atau laluan alternatif,” menurut kenyataan itu.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengikuti perkembangan semasa berhubung situasi berkenaan serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan, terutama dalam menghadapi sebaran abu akibat aktiviti letusan gunung berapi.
Bagi mendapatkan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian +62 21 522 4947 pada waktu pejabat atau +62 813 8081 3036 selepas waktu pejabat.
Semalam media melaporkan, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta ditutup sementara selepas abu gunung berapi daripada letusan Gunung Anak Krakatau dikesan di kawasan lapangan terbang itu, menyebabkan 209 penerbangan terganggu dan menjejaskan 22,798 penumpang.
Ketua Pengarah Penerbangan Awam Lukman F Laisa berkata 16 penerbangan antarabangsa dibatalkan, tujuh ditangguhkan dan lima dijadualkan semula, melibatkan penerbangan dari dan ke Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong, Sydney, Seoul/Incheon, Doha dan Amsterdam.
Terdahulu, Badan Geologi Indonesia dalam laporan khas yang disiarkan di laman sesawangnya pada Sabtu memaklumkan Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera kekal pada Tahap III atau Siaga sejak 2 Julai, dengan letusan berulang yang memuntahkan bahan pijar dan abu gunung berapi.
Agensi itu memaklumkan aktiviti letusan berterusan yang disertai bunyi gemuruh direkodkan sejak 11.07 malam waktu tempatan pada Sabtu, dengan fenomena menyerupai pancutan lava dan menghasilkan aliran lava, manakala zon larangan dalam lingkungan tiga kilometer di sekitar gunung berapi itu kekal berkuat kuasa.