TPM Thailand mulakan lawatan kerja ke Malaysia

Sihasak Phuangketkeow/ REUTERS

KUALA LUMPUR, 6 September – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow akan memulakan Lawatan Kerja selama dua hari ke Malaysia bermula Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan mencerminkan komitmen mengekalkan hubungan dua hala rapat dan mempertingkatkan kerjasama saling menguntungkan dalam pelbagai bidang.
  • Perbincangan meneliti perkembangan hubungan dua hala serta langkah memperkukuh kerjasama perdagangan, pelaburan, kesalinghubungan sempadan dan pertanian.
  • Menteri Luar Mohamad Hasan akan menghoskan Majlis Makan Tengah Hari pada 7 September untuk memperkukuh hubungan dan persahabatan.
  • Lawatan sebahagian pertukaran peringkat tinggi, mencerminkan persahabatan erat antara negara jiran dan anggota ASEAN, hubungan ekonomi menunjukkan pertumbuhan berterusan.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, lawatan itu mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk mengekalkan hubungan dua hala yang rapat serta mempertingkatkan kerjasama yang saling menguntungkan dalam pelbagai bidang.

“Meneliti perkembangan hubungan dua hala, serta bertukar-tukar pandangan mengenai langkah untuk terus memperkukuh kerjasama dalam bidang berkepentingan bersama, termasuk perdagangan dan pelaburan, kesalinghubungan sempadan dan pertanian, di samping membincangkan perkembangan terkini di Selatan Thailand.

“Dalam rangka lawatan tersebut, Menteri Luar Datuk Seri Utama Haji Mohamad Hasan akan menghoskan satu Majlis Makan Tengah Hari bagi meraikan Sihasak Phuangketkeow pada 7 September.

“Majlis Makan Tengah Hari tersebut akan menjadi platform bagi kedua-dua pihak untuk memperkukuh hubungan erat dan persahabatan yang telah terjalin sekian lama antara Malaysia dan Thailand,” menurut kenyataan itu.

Lawatan itu merupakan sebahagian daripada pertukaran lawatan peringkat tinggi secara berkala antara Malaysia dan Thailand serta mencerminkan hubungan persahabatan yang erat, kukuh dan berkekalan antara kedua-dua negara sebagai negara jiran terdekat dan Negara Anggota ASEAN.

Ia juga kesinambungan Lawatan Rasmi Perdana Menteri Thailand Anutin Charvirakul, pada 9 hingga 10 Julai lalu yang menjadi wadah untuk meneruskan momentum hubungan dan pertemuan peringkat tinggi antara Malaysia dan Thailand.

Pada tahun 2025, Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan Negara Anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM118.57 bilion (AS$27.73 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand mencecah RM85.01 billion (AS$21.13 billion), berbanding RM66.95 billion (AS$16.64 billion) dalam tempoh yang sama pada tahun 2025, mencerminkan pertumbuhan berterusan serta potensi hubungan ekonomi yang kukuh antara kedua-dua negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.