Luis Enrique kekal di PSG hingga 2030

Ketua jurulatih PSG, Luis Enrique / REUTERS

PARIS, 5 September – Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique melanjutkan kontrak selama tiga tahun untuk kekal menerajui juara Eropah itu sehingga 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • PSG turut melanjutkan kontrak lima pemain: Joao Neves, Fabian Ruiz, Willian Pacho, Lucas Beraldo dan Senny Mayulu.
  • Presiden Nasser al-Khelaifi berkata Enrique dan pemain itu merupakan sebahagian daripada projek jangka panjang kelab.
  • Pengumuman disambut meriah penyokong di Parc des Princes ketika Enrique dan lima pemain diperkenalkan.
  • Di bawah Enrique, PSG memenangi kejuaraan Eropah, tiga Ligue 1 dan dua Piala Perancis.

PSG mengumumkan perkara itu pada Jumaat, sehari sebelum aksi Liga Perancis menentang Monaco di Parc des Princes.

Kelab itu turut melanjutkan kontrak lima pemain iaitu Joao Neves, Fabian Ruiz, Willian Pacho, Lucas Beraldo dan Senny Mayulu.

Presiden PSG, Nasser al-Khelaifi berkata Luis Enrique dan lima pemain berkenaan merupakan sebahagian daripada projek jangka panjang kelab berkenaan.

“Mereka mewakili masa kini dan masa depan projek kelab kami. Bersama-sama, kami menyasarkan untuk membina pasukan bagi jangka panjang, kekal setia kepada nilai kami dan terus mencipta sejarah yang boleh dibanggakan penyokong,” katanya dalam satu kenyataan.

Luis Enrique bersama kelima-lima pemain berkenaan menerima sambutan meriah daripada penyokong ketika pengumuman itu dibuat di Parc des Princes.

Bekas jurulatih Barcelona dan Sepanyol itu dilantik mengendalikan PSG pada musim 2023/24 dengan tugas membawa kelab berkenaan menjulang kejuaraan Eropah buat kali pertama.

Beliau mencapai sasaran itu apabila PSG membelasah Inter Milan 5-0 pada aksi akhir Liga Juara Eropah 2025, sebelum mempertahankan kejuaraan berkenaan dengan menewaskan Arsenal menerusi penentuan sepakan penalti pada Mei lalu.

Di bawah kendalian Enrique, PSG turut memenangi tiga kejuaraan Ligue 1 dan dua Piala Perancis. – PSG

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.